Monday, July 12, 2010

Luahan Hati Nureen



Nureen hadiri Kem Motivasi anjuran sekolah agamanya hujung minggu yang lalu. Program ini bertujuan untuk meningkatkan motivasi diri para pelajar sebelum berdepan dengan suasana peperiksaan. Apa yang menarik untuk saya kongsikan ialah luahan rasa hati puteri saya yang benar-benar menyentuh perasaan saya. Saya tidak hadir di dewan semasa puteri sulung saya membacakan surat yang ditulisnya. Isteri saya juga hadir lewat di majlis penutup Kem Motivasi tersebut. Ia sungguh memalukan kerana kami berdua seolah-olah membelakangkan diri beliau, padahal Nureen merupakan pelajar pertama yang berani menawarkan diri untuk membaca hasil tulisan beliau di hadapan para guru dan ibubapa yang hadir di majlis tersebut. Saya abadikan luahan rasa Nureen sebagai penghargaan kepada beliau..


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Buat mama dan daddy yang saya sayangi. Ketika ini saya berada dalam kem motivasi. Tiba-tiba saya teringat dan terbayang wajah mama dan daddy. Saya rasa sangat rindu, walaupun baru sebentar tadi kita berjumpa.

Mama dan daddy yang saya sayangi. Saya berasa amat gembira dan bahagia bersama mama dan daddy. Namun saya juga banyak melakukan kesalahan dan dosa.

Saya berasa amat menyesal atas kesalahan yang telah saya lakukan. Mama, daddy, tolong ampunkan segala dosa yang telah saya lakukan dan perkara yang telah mengecewakan diri mama dan daddy. Rasa saying dan rindu pada mama dan daddy amat tinggi. Walhal mama dan daddy sentiasa berada di sisi saya.

Mama dan daddy yang saya sayangi, terlalu banyak dosa yang terhimpun, malu rasanya untuk berhadapan dengan daddy dan mama. Tetapi saya berjanji untuk menjadi anak yang rajin untuk berjaya dan belajar bersungguh-sungguh. Saya juga berjanji akan melakukan yang terbaik dengan usaha yang saya ada. Sesungguhnya mama dan daddy adalah insan yang amat saya saying dan cintai hingga akhir hayat saya. Saya akan berdoa agar mama dan daddy berjaya di dunia dan akhirat dan ampunilah dosa saya.

Saya doakan mama dan daddy berbahagia dan berbangga memiliki anak seperti saya. Sememangnya saya amat sayang mama dan daddy.


Daripada anakmu yang tercinta,


(Nureen Najeeha Bt. Najhan)


Sejujurnya, mama dan daddy amat tersentuh dan terkasima bila membaca luahan hati Nureen ini. Selain dari ketulusan dan kesucian hati yang Nureen tunjukkan, mama dan daddy juga tersentuh dengan keberanian Nureen untuk menghasilkan luahan sebegini. Ketahuilah bahawa mama dan daddy amat berbangga dengan dirimu, Nureen. Sebagai anak yang pertama di dalam keluarga, pastinya mama dan daddy mempunyai harapan yang besar pada Nureen. Harapan agar Nureen menjadi ikon dan idola kepada adik-adik. Mama dan daddy mahu Nureen terus berjaya. Nureen punyai potensi untuk berjaya. Ciri-ciri untuk berjaya sangat terserlah pada diri Nureen. Keluarkan dan muntahkan kesemuanya Nureen... Nureen pasti berjaya. Yang pasti, mama dan daddy akan sentiasa bersama Nureen..di kala kamu berjaya dan juga di kala kamu diselubungi kekecewaan.. kami tetap bersamamu..

Yang akan sentiasa menyayangi dirimu... mama dan daddy.

2 comments:

  1. Sir,
    What a lovely insight. And my doa to your children to be successful in the future.

    ReplyDelete
  2. Ada jugak yang membaca tulisan saya..many thanks indeed.. sorry sebab lama x bukak my blog. my latest post will give a clear picture the reason why saya lama tak menulis...

    ReplyDelete