Tuesday, April 26, 2011

Latest Insight: The Changes We Need






























I’m Back


Agak lama saya tidak menulis blog saya. Faktor utama kenapa saya gagal menghasilkan penulisan dalam blog saya ini adalah kerana sikap MALAS saya. Ya benar, saya harus bersikap jujur. Saya gagal menghasilkan penulisan sejak 8 bulan lalu bukan kerana kesibukan atau ruang waktu yang terhad. Sememangnya saya MALAS untuk menulis. Mim Alif Lam Sin.. MALAS. Hakikatnya, baru-baru ini ketika perkhidmatan mengadakan Pertandingan Menulis Esei Maritim untuk tahun 2011, saya tetap mengambil bahagian kerana terpaksa. Saya telah mengambil jalan mudah. Saya hantar sebuah esei yang saya ubahsuaikan daripada esei yang saya hasilkan semasa saya mengikuti program Sarjana di University of Wollonggong. Saya hanya mengambil inisiatif dengan meringkaskan penulisan saya daripada 9,500 words kepada 5,500 sahaja. Saya juga menukar fokus penulisan tersebut dalam context Malaysian Maritime Security sahaja. Ternyata saya gagal memenangi sebarang hadiah dan saya tidak terkilan langsung. Saya sendiri sedar bahawa kualiti esei yang dihasilkan kali ini tidak setanding berbanding esei yang saya hasilkan untuk tahun 2010 di mana saya memenangi tempat kedua. Saya sendiri kurang pasti mengapa saya kini semakin malas. Rasa semakin tidak bermaya. Lagipun blog saya ini bukan ada followers yang ramai pun.


Mim Alif Lam Sin


Malas, malas, malas... itulah alasan kita orang Melayu. Benarkah saya ini pemalas, atau mungkin saya sudah berpuas hati dengan apa yang telah saya capai. Atau mungkin fokus saya sudah beralih arah. Memang saya akui bahawa semenjak memegang jawatan sebagai Pegawai Memerintah, fokus saya telah berubah. Secara jujurnya, saya lebih memfokuskan kepada kebajikan anggota-anggota bawahan saya. Saya amat mengambil berat setiap perkara yang melibatkan kebajikan anggota. Pada hemat saya, itulah perkara yang lebih penting selain daripada duduk di atas kerusi dan menghasilkan penulisan-penulisan sepertimana saya selalu hasilkan ketika berkhidmat di Bahagian Operasi, Markas Tentera Laut. Walaupun saya tidak bersemangat seperti dahulu untuk menghasilkan artikel-artikel dan kertas kerja yang begitu menyakinkan, saya sedikitpun tidak pernah rasa kesal. Sebaliknya saya gembira melaksanakan tugas Pegawai Memerintah yang penuh mencabar ini. Saya gembira bertemu setiap warga kapal saya sambil berbual dan bertanya khabar ahli keluarga mereka. Dengan mengambil berat kebajikan mereka, mereka akan rasa dihargai dan akan berbakti dan berkerjasama dengan kita tanpa persoalan. Elemen inilah yang saya maksudkan di dalam Falsafah Pemerintahan saya, iaitu ENGAGE atau mengambil bahagian. Saya menyenaraikan 4 elemen utama yang akan saya berikan sebagai Pegawai Memerintah iaitu LEADERSHIP, ENGAGE, ACCOUNTABILITY dan DEVELOPMENT. Gabungan keempat-empat elemen ini menjadikan kontrak saya kepada warga kapal saya adalah L.E.A.D. Saya akan postkan Falsafah Pemerintahan saya dalam blog ini supaya sidang pembaca memahami apa yang saya maksudkan.


Four Stars Rating


Tanpa saya sangka, Manifestasi Falsafah Pemerintahan yang saya hasilkan dan paparkan di setiap laluan utama kapal memberi kesan kepada warga kapal. Warga kapal begitu bersemangat untuk bersama-sama yang mencapai misi dan visi yang telah saya sasarkan. Saya begitu tersentuh dengan kesungguhan warga kapal saya. Pencapaian semasa Audit Pengurusan Tahunan kapal baru-baru ini membuktikan bahawa organisasi yang saya terajui adalah dalam keadaan baik dan persekitaran kapal saya begitu sihat. KD PERANTAU mendapat markah 7.3 over 9.0 iaitu dikategorikan sebagai BAIK. Kategori yang sangat membanggakan. Markah sempurna adalah 9.0 iaitu CEMERLANG dan 8.0 hingga 8.9 pula dalam kategori SANGAT BAIK. Selain itu, penilaian SSR pula menghasilkan markah 80.6 dan dikategorikan dalam kelas 4 bintang. Dengan bangganya saya menyatakan bahawa pencapaian ini merupakan pencapaian tertinggi yang pernah dicapai oleh sebuah kapal TLDM. Lebih menyentuh perasaan saya bila keputusan bancian status moral warga kapal merumuskan pentadbiran dan pengurusan pemerintahan saya adalah berstatus SANGAT BAIK. Sebanyak 60 responden yang mewakili 50% warga kapal telah dibanci dan memberi maklum balas yang sangat positif kepada perlaksanaan pemerintahan saya. Sesungguhnya saya amat berterima kasih atas pengiktirafan tersebut. Saya berjanji untuk meneruskan usaha dan meningkatkan lagi pencapaian saya di masa akan datang. Terima kasih saya ucapkan kepada the Perantau People kerana menyokong setiap usaha yang saya lakukan. Kejayaan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan dan kerjasama daripada kalian semua.



Captaincy and PhD
Saya mula merasakan bahawa tempoh untuk saya menyerahkan tugas Pegawai Memerintah ini semakin hampir. 7 bulan telah berlalu tetapi saya masih merasakan seolah-olah baru seminggu saya menjadi Pegawai Memerintah. Sebelum saya mengambil alih teraju pemerintahan KD PERANTAU, saya telah dimaklumkan bahawa tempoh perjawatan saya sebagai Pegawai Memerintah di kapal ini tidak lama. Paling lama pun 18 bulan. Ini kerana saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian Doktor Falsafah oleh perkhidmatan TLDM. Terus terang saya katakana bahawa saya telah dipilih secara peribadi oleh Pucuk Pemerintahan TLDM untuk melanjutkan pengajian walaupun saya tidak memajukan sebarang permohonan lagi. Saya amat berbangga kerana pengiktirafan dan kepercayaan tersebut. Namun, jauh di sudut hati saya masih ada perasaan bimbang. Saya bimbang sekiranya pemilihan ini bakal memangkin rasa dengki dan sakit hati di kalangan pegawai-pegawai yang jauh lebih kanan daripada saya. Saya takut dituduh ANAK EMAS seseorang. Walaupun hakikatnya, pemilihan saya berasaskan keperluan perkhidmatan dan organisasi Hidrografi TLDM. Mahu tidak mahu saya harus terima presepsi negatif di kalangan mereka. Budaya orang Melayu memang tidak akan lari dari perasaan dengki. Apa yang harus saya lakukan sekarang ialah jangan terlalu berbangga diri. Saya tetap hormati semua pegawai-pegawai yang lebih kanan daripada saya dan saya selalu berdoa kepada Allah SWT agar tuhan menghakis perasaan kecewa dan sakit hati di kalangan mereka dan melihat saya sebagai seorang rakan, bukan musuh. Walaupun saya terpilih mengikuti pengajian tertinggi ini, saya tidak pernah melihat peluang ini sebagai halangan kepada pegawai-pegawai lain untuk turut berjaya seperti saya. Saya yakin, sekiranya saya berjaya kelak, ia akan membuka lebih ruang untuk pegawai-pegawai lain untuk turut berjaya memperolehi segulung ijazah Doktor Falsafah dalam bidang dan kepakaran masing-masing.


Dipancing Kerjaya Baru


Dalam saya memikirkan universiti mana yang hendak saya jadikan pusat pengajian, saya telah dihubungi sebuah firma offshore (oil and gas) tempatan. Saya telah ditawarkan untuk bekerja dengan firma tersebut sebagai Project Manager di luar negara. Tawaran mereka cukup unik kerana mereka sanggup menunggu sehingga saya menghabiskan tempoh wajib saya sebagai anggota tetap iaitu 21 tahun berkhidmat di dalam TLDM. Dengan melengkapkan tempoh 21 tahun ini, ia melayakkan saya menerima pencen bulanan. Mereka sebenarnya sudah lama mengintip saya untuk memancing saya bekerja bersama mereka. Mereka akui yang mereka harus memaklumkan kepada saya kerana mereka telah mendengar berita bahawa saya telah ditawarkan oleh perkhidmatan untuk melanjutkan pengajian Doktor Falsafah. Mereka sedar, sekiranya saya menerima tawaran pengajian tersebut, mereka terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan khidmat saya. Ini kerana, saya akan diikat dengan bon perjanjian sebaik sahaja menamatkan pengajian Doktor Falsafah kelak. Terus terang saya katakan bahawa tawaran yang diberikan cukup lumayan. Gaji yang ditawarkan melebihi 4 kali ganda gaji yang saya terima sekarang. Lebih menarik lagi, saya dan keluarga akan berada di luar negara dalam satu tempoh yang agak lama. Sepanjang tempoh berada di luar negara, pembiayaan sara hidup saya dan keluarga juga akan ditanggung oleh firma berkenaan. My goodness... sungguh mewah. Sebagai manusia biasa, saya tidak boleh lari dari kehendak naluri untuk menyambar tawaran baik ini. Apa lagi yang saya mahukan?? Semuanya sempurna. Gaji yang lumayan, faedah perubatan hospital pakar, pendidikan anak-anak di luar negara dan banyak kemudahan lain lagi. Sungguh sukar untuk saya mengatakan TIDAK. Saya rasa sesiapa pun yang menerima tawaran ini akan menerimanya tanpa berfikir dua kali.


Persoalannya, adakah kemewahan yang saya impikan selama ini?? Jauh di sudut hati saya tersimpan rasa bersalah. Rasa bersalah kepada perkhidmatan TLDM. TLDM sangat berjasa kepada saya. TLDM telah banyak memberi peluang kepada saya dan menjadikan saya seperti mana saya hari ini. Jadinya saya pada hari ini adalah kerana usaha dan acuan yang disediakan oleh TLDM. Sekiranya saya menerima tawaran tersebut, bukankan ia akan mencerminkan sikap saya yang terlalu mementingkan diri. Adakah saya ini Si Tanggang Orde Baru?? Sanggup melupakan jasa baik ‘ibu’ setelah diumpan kemewahan?? Apa yang saya mahu sebenarnya?? Ya benar, sejak akhir-akhir ini saya sering bertanyakan kepada diri saya sendiri soalan tersebut. Apakah sebenarnya yang saya mahukan dalam hidup ini. Jauh di sudut hati kecil saya pernah menjawab bahawa saya hanya mahukan keberkatan dalam apa juga yang saya lakukan. JADI, BERKATKAH PEKERJAAN BARU SAYA KELAK SEKIRANYA SAYA MENGHAMPAKAN PUCUK KEPIMPINAN TLDM? Tetapi fikiran saya punya tafsiran berbeza. Fikiran saya menyatakan, BUKANKAH PERKHIDMATAN 21 DALAM TLDM CUKUP UNTUK MEMBALAS BUDI TLDM?? Bukankah saya telah curahkan segala apa yang saya miliki kepada TLDM sepanjang tempoh tersebut. Tuduhan saya mementingkan diri juga tidak tepat kerana saya bukan menderhaka. Saya hanya mahukan yang terbaik untuk diri dan keluarga saya. TLDM mempunyai ramai lagi warga yang jauh lebih baik dari saya, so why should I worry?? Lagipun, sekiranya saya meninggalkan perkhidmatan, wujud satu kekosongan untuk pegawai lain naik pangkat. ADILKAN?? Kalau dilihat daripada dimensi positif pula, pemergian saya adalah untuk kepentingan nasional. Industri oil and gas merupakan salah satu industri yang dikategorikan sebagai industri yang berpotensi untuk menyaingi pasaran global. Malah ia tersenarai dalam rancangan Economy Transformation Plan (ETP). Tiada gunanya sekiranya industri yang banyak menerima pembiayaan kerajaan ini dijana dan dikawal oleh pekerja-pekerja luar. Bukankah lebih sempurna sekiranya anak-anak tempatan diberi peluang untuk memainkan peranan penting dalam industri ini?? Malah pendekatan mereka untuk memancing saya juga seiring dengan langkah kerajaan untuk mengurangkan tenaga kerja asing di dalam industri ini.


To Be A New Competative Player


Saya banyak berfikir dan berdoa memohon Allah SWT memberi petunjuk kepada saya. Terus terang saya katakana, gerak hati saya lebih cenderung untuk memilih pekerjaan baru. Bukan semata-mata kerana gaji dan kemewahan tetapi kerana peluang untuk menjadikan saya sebagai ‘player’ dalam industry oil and gas. Saya seorang jurukur marin atau hydrographic surveyor. Sekiranya saya terus berada dalam TLDM, kepakaran saya akan menjadi terhad dan sukar untuk berkembang. Malah saya akan terus ketinggalan dalam arus pembangunan teknologi pengukuran. Pembangunan sistem dan peralatan ukur dalam TLDM terlalu perlahan. Padahal, arus pemodenan sistem dan peralatan pengukuran adalah terlalu dinamik. Saya akan terus ketinggalan sekiranya terus berada di dalam TLDM. Kapal-kapal ukur TLDM masih menggunakan sistem dan peralatan yang dibeli sejak 15 tahun lalu. Jadi pemikiran saya terhadap teknologi baru amat terhad. Saya masih di belakang bila berbicara soal teknologi terkini sistem pengukuran. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa saya suka hadir ke forum dan seminar anjuran universiti-universiti tempatan dalam bidang pengukuran hidrografi kerana di situlah saya berpeluang bertemu dengan offshore players. Saya suka berkongsi cerita dan pengalaman bersama mereka mengenai sistem dan teknologi yang ada di pasaran. Mereka berkongsi pengalaman mengenai teknologi terkini yang mereka gunakan. Malah, sebelum ini saya selalu berbisik di dalam hati, BILAKAH SAYA BOLEH MENJADI SEPERTI MEREKA?? BILAKAH SAYA BOLEH MENJADI RUJUKAN DALAM ARENA HIDROGRAFI?? Saya amat mencemburui mereka kerana mereka sering ke hadapan dalam teknologi pengukuran kerana bagi mereka time is money and data are golds. Mereka tidak boleh ketinggalan. That’s why mereka ada segalanya. Alangkah bertuahnya saya kalau menjadi sebahagian daripada mereka.


BAKAT


Isteri saya amat menyokong saya untuk bertukar angin. Mengapa?? Mudah... kerana isteri saya tidak gemar dengan pendekatan BAKAT. Saya tidak pernah menyalahkan beliau kerana tidak menyukai aktiviti BAKAT. Saya amat memahami beliau. Saya juga bersependapat dengan beliau kerana bagi saya aktiviti BAKAT seharusnya wujud atas kerelaan dan bukan paksaan. Bagi mereka yang gemarkan aktiviti BAKAT, teruskan usaha anda. Tetapi satu sahaja harapan saya iaitu janganlah menilai kewibawaan setiap pegawai dan anggota TLDM dengan berpaksikan aktiviti BAKAT. Ia sama sekali salah.. Elemen inilah yang menjadikan kita hilang fokus dan mungkin juga menyebabkan TLDM kehilangan pegawai dan anggota yang berkualiti. Situasi sama yang saya hadapi sekarang dan mungkin ramai lagi insan lain yang turut merasakan perkara yang sama. Malah, saya melihat ramai juga yang bersikap hipokrit semasa menyertai aktiviti BAKAT. Sebahagian daripada mereka just wanna please someone yang berpengaruh with an intention to drag her husband nameinto a bigger picture such as promotion table, oversea course or interesting post abroad. Jadi, ikhlaskah mereka ini? Sebenarnya aktiviti BAKAT itu baik. Yang memburukkannya adalah ahli-ahli pertengahan yang tidak seberapa. Mereka-mereka yang bagaikan DIVA padahal hanya memegang peranan dalam Jawatankuasa Kecil. Mereka inilah yang suka menjaja cerita sehingga merosakkan keseluruhan organisasi. BAKAT rosak kerana mereka-mereka ini. Bukan kerana kepimpinan tertinggi BAKAT. Saya pernah melihat bagaimana aktiviti BAKAT diuruskan di negara Australia. Terlalu berbeza. Mereka berkawan, bukan berpuak. Mereka menghormati, bukan mengarah. Mereka humble, bukan berprotokol. Yang paling berbeza ialah mereka tidak pernah menjual dan menjaja nama Kepimpinan Tertinggi BAKAT untuk kepentingan sendiri. Kepada yang memamahi apa yang saya maksudkan, sedarlah.. BAKAT kita telah jauh terpesong dari matlamat asal. Opssss.. maaf, jangan sesekali labelkan saya sebagai anti BAKAT. Itu bukan niat saya mendedahkan . Niat saya hanya untuk membetulkan keadaan. Kalau pemikiran saya silap, maafkan saya. Janganlah pula ada di kalangan kita yang mula hendak menghasut orang lain selepas membaca blog saya ini. Hinakah saya kerana menulis apa yang saya fikirkan benar?? Ingatlah comments are free but facts scared.. Jauh di sudut hati saya sebenarnya masih percaya kepada BAKAT. Saya mula melihat perubahan positif dalam BAKAT. Kudos BAKAT.. teruskanlah transformasi anda.


Pesan Ayah




Berbalik kepada cerita saya mengenai tawaran kerja oleh firma oil and gas. Di pihak ayah dan ibu pula, mereka tiada halangan. Bagi mereka, saya berhak memilih jalan hidup saya sendiri. Kerana karier TLDM juga adalah karier pilihan saya. Sebenarnya mereka pernah cuba menghalang saya ketika memilih TLDM sebagai karier dahulu. Keputusan SPM saya adalah baik. Malah saya telah menerima Surat Tawaran Matriks sebulan sebelum memulakan latihan Pegawai Kadet TLDM. Namun saya nekad memilih TLDM. Alhamdullillah.. so far saya berjaya. Saya masih ingat ketika saya memaklumi ayah tentang tawaran kerja terbaru ini. Komen ayah mudah. Kata ayah, “Jangan sampai kamu tiada waktu untuk beribadah..” Saya terkasima mendengar pesanan ayah. Memang benar concerns ayah. Kerjaya baru ini penuh cabaran dan masa akan berlalu dengan begitu pantas. Mampukah saya mengekalkan solat 5 waktu?? Puasa dan puasa sunat?? Bagaimana hubungan sesama ahli keluarga saya pula. Kesibukan bakal menjarakkan hubungan kami. Berapa kerapkah saya mampu menemui ayah dan ibu?? Bagaimana hubungan saya dan abang-abang, kakak-kakak dan adik-adik?? I will gain something but certainly will lose a lot of things... Komen ayah membuat saya berfikir panjang... Kekayaan dan kemewahan bukan lah segala-galanya.. Apa yang sebenarnya yang saya mahukan dalam hidup?? Adakah kekayaan dan kemewahan akan menjanjikan saya ketenangan??

Ikon dan Idola


Saya tahu ramai pegawai-pegawai bawahan saya yang mahu suatu hari nanti saya memimpin organisasi Hidrografi TLDM. Malah ada di kalangan mereka percaya yang saya mampu pergi lebih jauh lagi. Bukan sekadar Ketua Pengarah Hidrografi sahaja. Ketua Pengarah Hidrografi baru sahaja dikurniakan Dato’ Pahlawan pada 26 Apr lalu. Tahniah Dato’ for receiving an honor that you clearly deserve. But, honestly it doesn’t drive me to stay. Honestly, title Dato’ship doesn’t bother me much. Saya tidak memandang kepada itu semua. Saya tahu, sekiranya saya terus kekal di dalam TLDM, peluang saya untuk menjadi KP dan menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato’ tetap ada. But that is not what I want?? Buat masa ini, elemen yang menahan saya untuk bertukar kerjaya cuma kerana organisasi hidrografi TLDM. Saya mempunyai hasrat untuk menjadikan ia sebagai satu organisasi yang lebih berkredibel dan kompeten. Bukan seperti sekarang. Saya tidak mungkin dapat menjadikan ia sepertimana yang saya hasratkan kalau saya keluar. Saya telah beberapa kali mengangkat nama hidrografi TLDM dan saya percaya saya mampu lakukan lebih daripada itu.. Apa yang saya lakukan hanya kerana saya mahu hidrografi TLDM dipandang tinggi. Saya telah mula mengangkat semula nama KD PERANTAU. Kejayaan di dalam Audit Pengurusan Tahunan baru-baru ini telah membuka mata banyak pihak bahawa platform hidrografi mempunyai kualiti yang tinggi. Merujuk kepada apa yang saya lakukan untuk kapal ini, saya percaya bahawa saya mempunyai karekter kepimpinan yang baik. Daripada apa yang saya fahami, karekter ini diistilahkan sebagai ‘Transformational Leader’. Pemimpin yang berjaya menghasilkan kekuatan organisasi yang sanggup memberikan sumbangan 110%.

Oleh itu, kalau saya ingin melihat perubahan di dalam organisasi ini, saya perlu kekal di dalam organisasi ini. Dan, saya juga tidak mahu menghampakan harapan pegawai-pegawai bawahan saya yang mempercayai saya. Saya percaya kalau saya memilih untuk keluar, mereka akan kehilangan ikon dan idola mereka. Saya bukan ‘perasan’, tetapi perkara itulah yang dimaklumkan kepada saya oleh pegawai-pegawai bawahan saya semasa saya membincangkan soal karier bersama mereka. Bila memikirkan elemen ini, saya merasakan that I’m belong to the organisation and the organisation still need me. Saya seolah-olah terikat. Rasa terlalu bersimpati. Tidak termampu untuk melangkah meninggalkan mereka kerana mereka ini telah meletakkan harapan yang tinggi pada saya. Saya tidak fikirkan sangat pengharapan oleh pihak atasan kepada saya. Saya tidak pedulikan apa juga rancangan pihak atasan kepada saya. Mereka membicarakan soal rancangan dan aturan pemindahan kepimpinan masa depan. Saya tidak terkesan kerana apa jua perancangan selalu tidak akan kekal. Tetapi saya amat tersentuh dengan pengharapan pegawai dan anggota bawahan saya kepada saya untuk memimpin organisasi ini. Pihak atasan memerlukan saya hanya kerana saya seorang pekerja yang baik tetapi pegawai dan anggota bawahan memerlukan saya kerana saya seorang pemimpin yang baik. Pekerja yang baik senang dicari but pemimpin yang baik sukar ditemui...Kalau saya hanya memikirkan diri sendiri (me first, me first, me first), saya tidak akan memikirkan langsung pengharapan mereka. Persoalannya, apakah saya bodoh kerana rasa terikat?? Apakah benar mereka memerlukan saya?? Leader come and go, so why should saya perlu rasa terikat dengan pengharapan mereka??

Family First


Satu faktor lain yang perlu saya imbangi ialah faktor keluarga saya. Sekiranya saya memilih untuk meneruskan pengajian PhD yang secara langsung mengekalkan saya untuk terus berkhidmat dalam TLDM, bukankah ia akan lebih mendekatkan kami satu keluarga. Masa bersama keluarga lebih berkualiti. Saya lebih banyak masa melihat anak-anak saya membesar. Buat masa ini, saya merasakan mereka amat-amat memerlukan perhatian saya. Ketika saya belayar sekalipun, anak saya yang kecil sering menghitung hari menunggu kepulangan saya. Setiap hari dia akan memberitahu ibunya, “Mama, daddy balik 12 hari lagi”. “Mama, daddy balik 11 hari lagi.” Dan seterusnya... Dari situ saya dapat merasakan bahawa memerlukan saya. Mereka tidak suka berpisah dengan saya. Sekiranya saya kekal dalam TLDM, saya sedar bahawa mungkin perjawatan yang saya pegang sekarang merupakan jawatan terakhir saya di kapal. Berkemungkinan besar, saya tidak akan ditugaskan semula di kapal. Kecuali, sekiranya TLDM mempunyai kapal hidrografi baru dan perjawatan Pegawai Memerintahnya lebih tinggi. Saya mungkin akan berkhidmat semula di kapal. Tetapi, kebarangkalian perkara itu untuk berlaku sangat tipis. Oleh yang demikian, saya akan menghabiskan sisa perkhidmatan saya hanya di pangkalan dan bukan lagi di kapal. Secara tidak langsung, waktu-waktu untuk ‘terpisah’ dengan keluarga mungkin sudah tiada. Saya akan lebih rapat dengan keluarga saya kerana masa bersama keluarga akan menjadi banyak..Bukankah itu yang saya mahukan?? Bersama-sama dengan mereka dan melihat mereka membesar?? Whatsoever my decision later, keluarga adalah keutamaan saya. Saya masih belum membuat keputusan. Setiap kali selesai solat, saya akan berdoa kepada tuhan, Ya Allah SWT, berilah saya petunjuk untuk memilih jalan yang lebih baik. Saya juga menunaikan solat sunat isthiharah. Saya memohon kepada mu Ya Allah agar pilihan kerjaya yang bakal saya ambil nanti akan memberikan keberkatan dan keredhaan yang berpanjangan kepada saya dan seluruh ahli keluarga saya. Amin..


Surah Al-Baqarah ayat 186 bermaksud, “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat, Aku mengambulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”


Epilog



Perkataan Epilog ini sebenarnya mengimbas kepada satu situasi yang akan saya ingati sampai bila-bila. Izinkan saya menceritakannya. Semasa menjadi ahli editor kepada buku Strategi Pertahanan Maritim, saya mencadangkan agar tajuk Bab terakhir dimanakan Epilog yang bermaksud Bab akhir atau penutup. Cadangan saya sedikit pelik kerana tidak pernah terlintas di fikiran ahli-ahli lain mengenai perkataan ini. Apabila saya diminta untuk memberi justifikasi mengapa saya mencadangkan tajuk itu, saya menjawab dengan mudah dengan mengatakan bahawa saya pernah membaca sebuah buku strategi yang diakhiri dengan tajuk yang menggunakan perkataan ini dan saya tertarik kerana keunikannya. Akhirnya semua ahli menerima alasan mudah saya. Benarlah kata pendita, honesty always work (kejujuran selalunya berkesan). Saya tamatkan coretan saya buat masa ini kerana saya mula terasa sakit di pangkal tengkuk. Time to break. Sebenarnya saya perlu berehat kerana saya berpuasa sunat pada hari ini. Jangan bimbang, saya akan terus menulis kerana mempunyai banyak masa. Saya berada di laut sekarang. Kapal saya sedang melaksanakan operasi hidrografi selama sebulan. Saya akan postkan coretan ini sebaik sahaja broadband celcom saya mempunyai liputan. Terima kasih kerana sudi membaca coretan saya yang tulus dan ikhlas ini. Adakah saya berbakat untuk menulis?? Buat masa ini saya tidak mengendahkan langsung samada penulisan saya ini berkualiti ataupun tidak. Ya benar, saya tidak begitu memikirkannya. Yang peting saya telah berjaya menulis lebih daripada 3,200 patah perkataan dalam masa kurang dari 3 jam. Thank you Allah for giving me this strength. Tidak susah untuk menulis sesuatu yang lahir dari hati. Ibarat kita menulis sesuatu dalam dairi peribadi kita. Ia tidak memerlukan ilham, sebaliknya ia lahir secara spontan. Kindly become my followers if you feel that my writing dalam blog ini memberi faedah kepada kalian. Saya akan berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang lebih berkualiti di masa akan datang. Tetapi dengan izin daripadaNya juga... Insyaallah..

Saya akhiri coretan saya dengan menitipkan nasihat buat anak-anak saya,"Wahai anakku Nureen, Najmi dan Nurdini, ingatlah bahawa budi ibumu terlalu besar buat kita semua."


Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatuhlah Wabarakatuh...

Affectionately,



Najhan Md Said

Somewhere at sea

No comments:

Post a Comment