Tuesday, January 17, 2017

Tahun Baharu 2017: Azam Baharu... sorry lewat post. terbiar lama dalam draft

Assalamualaikum wbh semua (macam lah ramai yang membaca)

Harapan saya agar semua ahli keluarga dan sahabat berada dalam keadaan yang sihat walafiat dan masih bergembira menyambut kehadiran tahun baharu. Alhamdulillah kita masih bernyawa. Marilah kita sama-sama panjangkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan inayahNya kita masih dapat bernafas dan menatap wajah-wajah insan yang kita sayangi. Itulah nikmat yang sebenarnya...

Tahun baharu selalu didatangi bersama iltizam baharu. Azam baharu. Azam saya bagi tahun ini simple. Saya hendak menjadi insan yang lebih baik dari tahun lalu. Hendak banyakkan amalan. Hendak banyakkan ilmu. Kepada yang masih belum tahu, saya sekarang sedang mengikuti program PhD secara sepenuh masa di UTM Skudai. Sudah hampir selesai 3 semester. Saya ada lagi 3 semester sahaja lagi untuk menghabiskan pengajian saya. Tolong sama-sama doakan saya berjaya menyiapkan thesis saya sebelum September 2018 ya.


Hari ini saya ingin celoteh mengapa saya berani menyambung pengajian ke peringkat PhD. Walhal perkhidmatan saya tidak BEGITU memerlukan seorang yang mempunyai PhD. Sebelum ini pun, jawatan tertinggi dalam cawangan saya tidak ada pun yang mempunyai title Dr. Mereka masih berjaya mengemudi PHN dengan baik. So why saya ngada-ngada nak buat PhD. Why? Why? Why? Honestly saya bukan nak jadi boss. Saya ingin sambung belajar kerana saya minat dan saya rasa banyak kebaikannya.



Bak kata Albert Einstein, education is not the learning of facts, but training of mind to THINK. Saya berpegang pada prinsip itu sebenarnya. Saya tahu ia benar kerana ia terjadi pada diri saya sendiri. Di sekolah saya pelajar biasa. Kategori biasa-biasa kot. Kalau ada yang cakap saya pandai mungkin ada sedikit kebenarannya sebab keputusan exam saya memang lebih baik dari 'average'. Tapi saya nafikan sama sekali bahawa saya dari kalangan pelajar yang pandai-pandai. Ini kerana saya bukan student top 3 dalam kelas. Top 10 mungkin lah. So saya sebenarnya jatuh dalam kategori 'biasa-biasa'. Tetapi perubahan dalam diri banyak berlaku ke atas diri saya ialah semasa saya bertungkus lumus menghabiskan pengajian MSc saya selama 2 tahun. Saya sedar prinsip Albert Einstein itu benar. Ini kerana saya mula merasakan bahawa saya lebih 'bijak'. Bijak untuk berfikir. Malah saya rasakan pemikiran saya semakin tajam. Jujur saya katakan bahawa saya bukan mengada-adakan cerita. Hanya saya yang lebih mengenali diri saya. Sekiranya ada kenalan lama yang berangapan bahawa saya memang bijak dari sekolah. Saya nafikan sama sekali. Saya sebenarnya malas masa sekolah dulu. MALAS! Susah nak fokus. Asyik main jer. Obses pada sukan. Main bola, ragbi, hoki, takraw, etc. bila nak exam baru lah nak belajar. Hasilnya = result x lah gempak sgt tapi OK lah!


Berbalik kepada persoalan why saya sambung PhD, itulah jawapannya. I need to train my mind to THINK better. Bagi saya untuk tajamkan pemikiran ia perlu diasah dan dibaja. Bagi saya ia sukar dibuat tanpa tekanan dari luar atau diri sendiri. Kena ada paksaan. Orang melayu memang perlu paksaan untuk jadi lebih baik. Perlu susahkan diri untuk maju. Itu lah sebenarnya yang ada dalam benak pemikiran saya semasa membuat keputusan untuk sambung PhD. Saya perlukan satu force untuk melatih diri. Perlu paksa diri membaca banyak papers dan articles. Paksa diri menulis dan buat review paper. Saya tidak mahu terbuai hidup dalam angan-angan lagi. Saya perlu melatih diri dan inilah jalan penyelesaian terbaik. Di saat teman seperjuangan menikmati rutin kehidupan yang selesa. Ada driver ke tempat kerja. Ada makanan terhidang bila tiba saat makan. Ada steward bertanya, "tuan nak minum apa?". Tetapi saya di sini berdepan computer tidak kurang dari 14 jam sehari secara purata.




Rutin saya mudah. Pagi masuk lab pkul 7.45 (paling lewat sebab nak dapat slot parking). Lunch saya jarang ambil. Tak rasa lapar bila buat kerja. Kalau lapar sangat saya jalan kaki jer ke Arked Meranti. Makan sorang2. Layan HP masa makan. Pkul 6 mcm tuh balik bilik di hostel Kolej Rahman Putra. Rehat kejap. Pekena Horlicks panas then mandi dan terus ke lab sebab nak solat maghrib di masjid depan lab. Saya akan stay di lab sekurang-kurangnyer sampai jam 11 mlm. Then saya balik hostel semula. Dok termenung sekejap. Baca artikel or buku-buku ilmiah sebelum terttidur dengan sendirinya. Saya biasa bangun awal untuk subuh then siap2 ke lab semula sekitar jam 7.45 pagi. Itu lah rutin harian saya di UTM. Sebagai suami dan ayah kepada 3 orang anak, sememangnya rutin ini agak pelik. Bila sendirian memang rindukan rumah di Shah Alam. Rindu isteri. Rindu tingkah laku anak-anak. But saya kena berkorban. Ini suatu perjuangan. Saya yang mahu ia bermula, jadi saya akan pastikan ia berakhir dengan kejayaan. Sayang sekali masih ada yang beranggapan tempoh 3 tahun ini ialah masa sanggang saya. Masa enjoy saya. Ada juga yang secara sinis memberi komen bahawa saya pengajian PhD ini ibarat 'walking in the park'. Biar lah.. depa nak kata apa. Kita kena redhaaaa.. pinjam ayat Tok Adi Pengali Kubur. Macam nih lah.. kalau lah pengajian PhD itu mudah, saya alu-alukan mereka turut ambil peluang sambung pengajian PhD seperti saya.





Seperkara lagi ingin saya share ialah, seikhlasnya saya ingin sahabat2 saya supaya jangan panggil saya dengan nama Dr. selepas saya tamat pengajian nanti. Please janji jangan panggil Dr. Please call me Naj or Hans or Najhan. Di UTM saya tak benarkan student Post Grad panggil saya Tuan. Saya rasa ia wujudkan gap. Padahal mereka sama seperti saya. PELAJAR juga. Saya mahu mereka panggil saya Kept jer. Rasa muda sket kot. Mesra alam. Sama lah bila saya tamat pengajian nanti. Bila panggil Dr. macam akan wujudkan gap. diri akan rasa di apungan atau diangkat. Padahal kita sahabat sahaja. So please yer. Don't call me Dr. Di Australia, even Prof pun kita tak panggil Prof. Dia gelar diri dia dengan nama dia jer. I am Matthew Hughes and please call me Matt. Bila panggil nama, ia lebih mesra. Tak wujud gap langsung. Kita nih semua sama jer. Di Malaysia jer yang terlalu "menghormati". Bila terlalu"menghormati" wujudlah gap. Yang dihormati akan rasa dirinya berada dalam kelas tersendiri. Yang di bawah pula akan rasa diri mereka kecil. Jadi sahabat2 semua. Please hormati permintaan saya ya. Itu pun kalau saya selesai lah. Hahaha..


Masa dah time lah. Maaf sebab terpaksa berhenti di sini. Memang post kali ini sekadar tulisan santai. Nothing substance. Buang masa sahabat sekalian sahaja baca post saya. Maaf sangat2. InsyaAllah di lain kali saya akan usahakan post yang lebih baik dan berilmiah. Saya harus akui bahawa saya memang lama tidak menulis jadi sudah pasti mutu, skill dan gaya penulisan saya sudah semakin lemah. Oleh yang demikian, saya harus memohon maaf sekiranya penulisan kali ini tidak mencapai mutu yang diharapkan. Maaf ya!




Sekian dari saya, Jumpa lagi lads! Assalamualaikum wbh.

-NMS-


Thursday, April 28, 2011

My Command Philosophy (Falsafah Pemerintahan)




Pembuka Bicara




Sebagai pembuka bicara untuk kali ini, ingin saya rakamkan ucapan tahniah kepada TLDM atas sambutan Hari Ulangtahun yang ke-77. Kodus RMN for the excellent services to the nation. Bersempena dengan sambutan ulangtahun TLDM yang ke-77 ini, post saya kali ini juga agak navy centric atau cenderung kepada ke'navy' an. Bagi pembaca yang di kalangan non-navy people, mungkin kalian sukar untuk memahami apa yang saya bakal tuliskan. Namun saya percaya, istilah 'Command Philosophy' atau Falsafah Pemerintahan ini sebenarnya cenderung kepada elemen 'leadership' dan boleh diadaptasikan di dalam mana-mana organisasi.

Apakah tujuan saya menghasilkan post ini di dalam blog saya?? Tujuan saya hanya satu, saya hanya ingin kongsikan Falsafah Pemerintahan saya dengan semua sidang pembaca. Sebagai Pegawai Memerintah atau Captain, semestinya saya mempunyai prinsip dan pegangan bagaimana saya mahu memerintah pasukan saya. Prinsip dan pegangan inilah yang mahu saya kongsikan.

Apakah yang dikatakan Falsafah Pemerintahan?? Secara jujurnya, saya tidak pernah didedahkan dengan Falsafah Pemerintahan di dalam perkhidmatan TLDM. Saya mula memahami apa yang dikatakan Falsafah Pemerintahan sewaktu mengikuti Australian Command and Staff Course di Canberra pada tahun 2008. Saya melihat pendekatan dengan mewujudkan sebuah Falsafah Pemerintahan adalah suatu pendekatan yang baik bagi setiap organisasi. Berpaksikan kepada pemahaman itulah, saya menghasilkan Falsafah Pemerintahan saya sendiri. Pada hemat saya, sesuatu yang membawa kebaikan harus disegerakan. Justeru, apa yang saya pelajari semasa berkursus dahulu, perlu saya kembangkan. Bukankah itu juga tanggungjawab saya?? Ilmu yang kita perolehi perlu dikongsi bukan untuk disimpan untuk diri sendiri. Ilmu yang difikirkan berguna tidak mungkin berkembang sekiranya tiada usaha seperti yang saya lakukan ini. Ahli fikir pernah menyatakan bahawa sebaik mana pun sesuatu idea, ia akan sentiasa kekal sebagai idea dan tidak memberi sebarang makna sekiranya ia tidak ditukarkan atau ditransformasikan kepada hasil..

Apa itu Falsafah Pemerintahan



Menurut Capt James Stavridis, USN dan Vice Admiral William P. Mack, USN dalam bukunya “Command at Sea (Fifth Edition)”, Falsafah Pemerintahan atau Command Philosophy diistilahkan sebagai satu pendekatan untuk menghasilkan ‘a quick rapport’ di antara Pegawai Memerintah dengan pegawai-pegawai bawahan dan seluruh warga kapal. Rapport atau perhubungan yang erat ini dihasilkan dengan menterjemahkan idea-idea dan falsafah yang merangkumi polisi, prinsip, pemikiran dan kehendak seseorang Pegawai Memerintah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab beliau sebagai Pegawai Memerintah. Jamie Cullens, Director Centre for Defence Leadership Studies, Australian Defence College (ADC) pula menterjemahkan Falsafah Pemerintahan sebagai alat (tool) yang berkesan dalam meningkatkan kemampuan dan keberkesanan pemerintahan seseorang pemerintah.

Pendedahan

Penyediaan Falsafah Pemerintahan oleh seseorang Pegawai Memerintah masih belum menjadi satu budaya di dalam perkhidmatan TLDM. Secara umumnya, punca utama penyediaan Falsafah Pemerintahan ini masih belum dipraktikkan di dalam TLDM adalah kerana kurangnya pendedahan dan pengetahuan di dalam menyediakannya. Pendedahan dalam menghasilkan Falsafah Pemerintahan masih belum dilaksanakan secara menyeluruh di dalam perkhidmatan TLDM. Oleh yang demikian, tujuan artikel ini ditulis adalah untuk memberi pendedahan kepada semua pembaca terutamanya para pemerintah dan bakal pemerintah tentang apakah sebenarnya Falsafah Pemerintahan dan bagaimana untuk menghasilkan sebuah Falsafah Pemerintahan.

Sebuah Peta dan ‘Malim’



Dalam usaha memahami dengan lebih mudah apakah sebenarnya Falsafah Pemerintahan, saya suka kaitkan keperluan Falsafah Pemerintahan ini kepada situasi dimana kita diarahkan untuk menuju ke satu destinasi yang belum pernah kita sampai. Bayangkan sekiranya kita diberi 3 pilihan. Pilihan pertama, mengekori pemandu yang tahu jalan ke destinasi tersebut. Pilihan kedua, mendapat gambaran atau taklimat mengenai jalan mana yang kita harus ambil sebelum memulakan perjalananan. Dan pilihan ketiga, kita diberikan peta yang mudah difahami disamping menerima taklimat sebelum memulakan perjalanan dan memandu mengekori kenderaan yang pemandunya tahu untuk menuju ke destinasi tersebut. Semestinya kita akan memilih pilihan yang ketiga. Pilihan ketiga ini merangkumi semua perkara yang mampu memudahkan pelaksanaan tugasan kita.

Mewujudkan Falsafah Pemerintahan boleh disamakan seperti menyediakan peta dalam situasi pilihan ketiga di atas. Menerangkan mengenai jalan yang mana kita akan lalui pula diibaratkan seperti memberi penerangan mengenai Falsafah Pemerintahan yang dihasilkan.. Manakala pemandu yang bertindak sebagai ‘malim’ atau penunjuk jalan pula adalah diri Pegawai Memerintah itu sendiri kerana hanya beliau yang lebih mengetahui destinasi mana yang hendak dituju. Sekiranya kita membayangkan situasi perjalanan secara konvoi di atas, apabila ‘malim’ di hadapan tersasar atau tersilap jalan, pemandu-pemandu lain di belakang yang telah dibekalkan dengan peta akan segera sedar bahawa si ‘malim’ di hadapan perlu dimaklumkan mengenai kesilapan tersebut. Mahu tidak mahu, ‘malim’ atau Pegawai Memerintah harus sentiasa memastikan beliau melalui jalan yang betul untuk ke destinasi yang dituju.

Elemen Falsafah Pemerintahan


Penulisan sebuah Falsafah Pemerintahan sebenarnya tidak mempunyai format khusus. Apa yang penting ialah, perkara yang hendak disampaikan kepada warga kapal atau unit mengandungi dua elemen utama. Elemen pertama, visi atau apa yang disasarkan sebagai pemerintah kapal atau unit. Elemen kedua pula ialah perkara yang perlu dilaksanakan atau ditekankan untuk mencapai sasaran tersebut. Isi kandungan sesebuah Falsafah Pemerintahan juga adalah unik dan merupakan sesuatu yang peribadi. Ia dihasilkan mengikut acuan dan pemikiran pemerintah itu sendiri. Setiap pegawai yang berkhidmat di dalam perkhidmatan TLDM secara idealnya, telah atau akan melalui satu tempoh persediaan sebelum diberikan tanggungjawab sebagai Pegawai Memerintah. Tempoh persediaan ini merangkumi aspek pembangunan jati diri secara peribadi, latihan-latihan kepimpinan dan pengamatan serta pengalaman sewaktu berkhidmat di bawah pemerintahan beberapa Pegawai Memerintah di sepanjang karier individu tersebut. Berpaksikan kepada faktor-faktor tersebut, setiap pegawai yang terpilih untuk sebagai Pegawai Memerintah seharusnya mempunyai prinsip dan falsafah yang tersendiri bagaimana dia mahu memimpin dan menerajui unit atau pasukan beliau. Prinsip dan falsafah inilah yang seharusnya diterjemahkan di dalam sebuah penulisan yang dinamakan Falsafah Pemerintahan. Di bawah ini saya sertakan penulisan Falsafah Pemerintahan saya sebagai Pegawai Memerintah untuk tujuan perkongsian maklumat. Harap ia dapat membantu pemahaman kalian mengenai Falsafah Pemerintahan.

MANIFESTASI FALSAFAH PEMERINTAHAN

Kdr Najhan bin Md Said KAT PPS PPA TLDM



PENDAHULUAN

KD PERANTAU merupakan pasukan/unit yang hebat dan saya sangat bertuah kerana terpilih menjadi Pegawai Memerintah kapal ini. Sebagai Pegawai Memerintah, saya merancang untuk kapal ini dan warganya menikmati masa yang menggembirakan sepanjang saya menjadi Pegawai Memerintah. Sejak hari pertama diperjawatkan sebagai Pegawai Memerintah kapal ini, saya telah mengambil inisiatif untuk mengenali dan memahami setiap individu yang berkhidmat di kapal ini. Kini saya benar-benar telah menjiwai persekitaran dan suasana semasa kapal dan warganya. Justeru, saya ingin sekali berkongsi pemikiran saya bersama kalian dengan menghasilkan Manifestasi Falsafah Pemerintahan ini. Manifestasi ini seharusnya menjadi petunjuk kepada semua Perantau People (semua pegawai dan anggota KD PERANTAU) dalam apa yang bakal kita laksanakan dan ke mana arah yang ingin saya bawa Perantau People bersama-sama saya. Dalam masa yang sama, manifestasi ini juga bertujuan untuk membantu saya dalam memberikan pedoman kepada pemikiran dan tindakan saya sepanjang memerintah KD PERANTAU.

SKOP

Manifestasi Falsafah Pemerintahan ini akan menjelaskan;

visi dan kehendak saya sebagai Pegawai Memerintah;
perkara-perkara yang saya harapkan dari setiap individu warga kapal dan;
perkara-perkara yang bakal diterima dari saya sebagai Pegawai Memerintah.

VISI SAYA

Secara umumnya, saya paksikan falsafah pemerintahan ini berasaskan prinsip yang sentiasa saya pegang semenjak saya masih di peringkat pegawai muda iaitu, setiap Navy People (Pegawai dan anggota TLDM) seharusnya – sentiasa, di mana jua dan sepanjang masa – adalah simbol Kualiti. Justeru, saya jajarkan pemerintahan saya bervisikan “Untuk Menjadi Kapal Yang Berkualiti Di Dalam TLDM”. Maksudnya di sini ialah kecemerlangan kita bukan sahaja di dalam melaksanakan tugas teras dan rutin operasi tetapi juga kecermerlangan sikap, keutuhan disiplin dan semangat esprit-de-corps yang mantap. Hasilnya kelak, Perantau People akan berbangga untuk menjadi warga KD PERANTAU kerana berkhidmat di sebuah kapal yang sentiasa memandang serius keperibadian dan kebajikan kamu.

TUJUAN SAYA

Menjadi Pegawai Memerintah KD PERANTAU adalah menjadi impian saya semenjak saya membawa (navigate) kapal ini semasa keluar untuk melaksanakan ujian jentera buat kali pertama. Kesannya, apabila dimaklumkan oleh Pengurusan Tertinggi TLDM bahawa saya akan diperjawatkan sebagai Pegawai Memerintah di kapal ini, perasaan saya sungguh terharu. Saya telah berkhidmat di kapal ini hampir satu pertiga usia perkhidmatan saya di dalam TLDM. Saya juga telah terlibat secara langsung dengan kapal ini semenjak menjadi ahli Pasukan Projek sebelum menjadi warga pertama sebagai Pegawai Panduarah. Kemudian pada April 2004, saya kembali semula menjadi Pegawai Hidrografi dan Oseanografi Kanan merangkap Pegawai Laksana. Tidak hairanlah mengapa jawatan sebagai Pegawai Memerintah ini penuh bermakna kepada saya. Namun, kapal ini bukan menjadi kebanggaan saya seorang. KD PERANTAU adalah kapal kebanggaan kita bersama. Saya sangat optimis untuk menghasilkan warga kapal yang berkualiti dengan membangunkan sebuah warga yang berkompetitif, bermotivasi, professional dan berpengetahuan tinggi. Untuk mencapai hasrat itu, keutamaan saya adalah memelihara kebajikan kalian agar semangat diri, spiritual dan tahap moral kalian sentiasa tinggi. Hanya dengan landasan itu sahaja, kejayaan untuk membangunkan warga kapal yang cemerlang akan dapat direalisasikan.

PERKARA-PERKARA YANG SAYA HARAPKAN

Harapan saya daripada kamu sebagai Perantau People adalah untuk “ACT”, yang mewakili Attitude (Sikap), Continuous Learning (Belajar Secara Berterusan) dan Teamwork (Semangat Berpasukan).

Attitude (Sikap). Sikap adalah kunci kejayaan kepada semua perkara. Ahli Pemikir Jepun, Kenichi Ohmae, dalam bukunya “The Mind of Strategist” menyatakan bahawa, “Pengurusan adalah mengenai ahli/anggotanya dan perniagaan yang berjaya adalah berpaksikan ahli/anggotanya, bukan kerana suatu perancangan.” Justeru, harapan saya agar Perantau People mempunyai sikap yang positif. Saya mahukan Perantau People sentiasa berfikiran “Saya boleh melaksanakannya” berbanding “Saya tidak mampu melaksanakannya”. Perantau People hendaklah memfokuskan kepada mencari penyelesaian kepada masalah dan bukan hanya menunding jari atas masalah tersebut. Lihatlah kepada kelebihan orang lain dan jangan mencari kelemahan atau mencari kesalahan orang lain. Saya juga berharap Perantau People mampu melihat peluang di hadapan dan bukan kengkangan.

Continous Learning (Belajar Secara Berterusan). Saya mengharapkan Perantau People berusaha untuk memajukan diri dalam semua aspek baik dari aspek karier mahupun kehidupan peribadi. Jangan sesekali merasakan pangkat yang dimiliki menyekat diri untuk terus belajar. Yang berpengetahuan, bantulah warga yang lain untuk maju. Yang berpengalaman pula, berilah panduan dan tunjuk ajar yang baik dan berterusan kepada warga yang baru agar masa depan Perantau People samada kehidupan semasa bertugas di kapal ini atau di dalam TLDM atau pun setelah menjadi orang awam selepas bersara kelak, kalian akan menjadi individu yang lebih positif, produktif dan berilmu.

Teamwork (Semangat Berpasukan). Memandangkan semangat kerjasama merupakan perkara utama untuk menjayakan setiap sasaran dan objektif, saya mahukan setiap Perantau People menghormati antara satu sama lain sesame warga kapal. Prihatin dan mengambil berat di samping memelihara perhubungan secara professional antara satu sama lain. Bekerja sebagai satu pasukan bertujangkan kesetiaan kepada saya, pegawai-pegawai dan juga anggota bawahan kamu.

PERKARA-PERKARA YANG BAKAL DITERIMA DARIPADA SAYA

Sebagai Perantau People, kalian boleh mengharapkan untuk menerima “LEAD” daripada saya sebagai Pegawai Memerintah kalian. “LEAD” mewakili Leadership (Kepimpinan), Engage (Ambil Bahagian), Accountability (Bertanggungjawab) dan Development (Kemajuan).

Leadership (Kepimpinan). Saya sangat komited untuk memimpin kalian sebagai Perantau People. Komitmen ini akan diimbangi dan didukung oleh tindakan dan kelakuan saya yang positif. Saya tidak akan hanya meminta kalian membuat perkara yang betul tetapi saya sendiri akan memimpin kalian untuk melaksanakan perkara yang betul. Saya tidak mahu hanya digelar sebagai pemimpin yang “cakap tak serupa bikin”. Sebaliknya, saya bertekad untuk menjadi contoh yang baik dan berkhidmat sebagai role model kepada kalian.

Engage (Ambil Bahagian). Sebagai pemerintah, saya tidak mahu kalian bekerja untuk saya tetapi saya mahu kalian bekerja bersama-sama saya. Saya akan mengamalkan berkomunikasi yang efektif dan berusaha untuk turut sama mengambil bahagian bersama-sama kalian. Ini kerana elemen mengambil bahagian bersama-sama adalah perkara yang amat penting dalam usaha mencapai apa yang saya hajati. Kita perlu berkongsi informasi secara bersama dan saling berhubungan dalam memastikan kita semua memahami dan memperolehi perkara yang sama. Hanya dengan kaedah ini sahaja kita mampu mencapai apa yang kita hajatkan.

Accountability (Bertanggungjawab). Tugas Pegawai Memerintah bukan sahaja memegang amanah yang diberikan perkhidmatan tetapi juga bertanggungjawab terhadap apa juga yang berlaku di kapal. Segala tindakan Perantau People samada di dalam perkhidmatan ataupun dengan kehidupan seharian kalian, ia tetap akan membawa bersama nama KD PERANTAU. Seterusnya nama saya sebagai Pegawai Memerintah juga akan terlibat sama. Saya tidak pernah gentar dengan tugas dan tanggungjawab ini. Saya meletakkan seluruh kepercayaan saya kepada kalian sebagai Perantau People untuk berkhidmat bersama-sama saya berasaskan nilai-nilai teras TLDM iaitu Kemuliaan, Kesetiaan, Keberanian dan Kebanggaan.

Development (Kemajuan). Saya komited untuk mencurahkan pengetahuan dan pengalaman yang saya miliki demi memajukan dan meningkatkan kalian sebagai Perantau People bukan sahaja dalam aspek profesionalisme tetapi juga sebagai individu. Saya yakin, selepas kalian menamatkan tugas kalian di kapal ini, kalian akan menjadi individu berbeza dari aspek kemajuan pengetahuan dan keyakinan diri.

PENUTUP

KD PERANTAU adalah satu pasukan yang hebat. Ia hebat kerana memiliki warga yang sehebat kalian. Jangan berlengah, marilah kita berusaha untuk menjadikan KD PERANTAU yang terbaik. Ingatlah bahawa “ACT” dan “LEAD” mampu diaplikasikan dalam setiap proses yang kita lakukan untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan di sepanjang perkhidmatan kita di kapal ini. Saya menggalakkan setiap dari kalian untuk ke hadapan dan buat perubahan kerana kita boleh merealisasikannya


“Sedia Berkorban”

Tuesday, April 26, 2011

Latest Insight: The Changes We Need






























I’m Back


Agak lama saya tidak menulis blog saya. Faktor utama kenapa saya gagal menghasilkan penulisan dalam blog saya ini adalah kerana sikap MALAS saya. Ya benar, saya harus bersikap jujur. Saya gagal menghasilkan penulisan sejak 8 bulan lalu bukan kerana kesibukan atau ruang waktu yang terhad. Sememangnya saya MALAS untuk menulis. Mim Alif Lam Sin.. MALAS. Hakikatnya, baru-baru ini ketika perkhidmatan mengadakan Pertandingan Menulis Esei Maritim untuk tahun 2011, saya tetap mengambil bahagian kerana terpaksa. Saya telah mengambil jalan mudah. Saya hantar sebuah esei yang saya ubahsuaikan daripada esei yang saya hasilkan semasa saya mengikuti program Sarjana di University of Wollonggong. Saya hanya mengambil inisiatif dengan meringkaskan penulisan saya daripada 9,500 words kepada 5,500 sahaja. Saya juga menukar fokus penulisan tersebut dalam context Malaysian Maritime Security sahaja. Ternyata saya gagal memenangi sebarang hadiah dan saya tidak terkilan langsung. Saya sendiri sedar bahawa kualiti esei yang dihasilkan kali ini tidak setanding berbanding esei yang saya hasilkan untuk tahun 2010 di mana saya memenangi tempat kedua. Saya sendiri kurang pasti mengapa saya kini semakin malas. Rasa semakin tidak bermaya. Lagipun blog saya ini bukan ada followers yang ramai pun.


Mim Alif Lam Sin


Malas, malas, malas... itulah alasan kita orang Melayu. Benarkah saya ini pemalas, atau mungkin saya sudah berpuas hati dengan apa yang telah saya capai. Atau mungkin fokus saya sudah beralih arah. Memang saya akui bahawa semenjak memegang jawatan sebagai Pegawai Memerintah, fokus saya telah berubah. Secara jujurnya, saya lebih memfokuskan kepada kebajikan anggota-anggota bawahan saya. Saya amat mengambil berat setiap perkara yang melibatkan kebajikan anggota. Pada hemat saya, itulah perkara yang lebih penting selain daripada duduk di atas kerusi dan menghasilkan penulisan-penulisan sepertimana saya selalu hasilkan ketika berkhidmat di Bahagian Operasi, Markas Tentera Laut. Walaupun saya tidak bersemangat seperti dahulu untuk menghasilkan artikel-artikel dan kertas kerja yang begitu menyakinkan, saya sedikitpun tidak pernah rasa kesal. Sebaliknya saya gembira melaksanakan tugas Pegawai Memerintah yang penuh mencabar ini. Saya gembira bertemu setiap warga kapal saya sambil berbual dan bertanya khabar ahli keluarga mereka. Dengan mengambil berat kebajikan mereka, mereka akan rasa dihargai dan akan berbakti dan berkerjasama dengan kita tanpa persoalan. Elemen inilah yang saya maksudkan di dalam Falsafah Pemerintahan saya, iaitu ENGAGE atau mengambil bahagian. Saya menyenaraikan 4 elemen utama yang akan saya berikan sebagai Pegawai Memerintah iaitu LEADERSHIP, ENGAGE, ACCOUNTABILITY dan DEVELOPMENT. Gabungan keempat-empat elemen ini menjadikan kontrak saya kepada warga kapal saya adalah L.E.A.D. Saya akan postkan Falsafah Pemerintahan saya dalam blog ini supaya sidang pembaca memahami apa yang saya maksudkan.


Four Stars Rating


Tanpa saya sangka, Manifestasi Falsafah Pemerintahan yang saya hasilkan dan paparkan di setiap laluan utama kapal memberi kesan kepada warga kapal. Warga kapal begitu bersemangat untuk bersama-sama yang mencapai misi dan visi yang telah saya sasarkan. Saya begitu tersentuh dengan kesungguhan warga kapal saya. Pencapaian semasa Audit Pengurusan Tahunan kapal baru-baru ini membuktikan bahawa organisasi yang saya terajui adalah dalam keadaan baik dan persekitaran kapal saya begitu sihat. KD PERANTAU mendapat markah 7.3 over 9.0 iaitu dikategorikan sebagai BAIK. Kategori yang sangat membanggakan. Markah sempurna adalah 9.0 iaitu CEMERLANG dan 8.0 hingga 8.9 pula dalam kategori SANGAT BAIK. Selain itu, penilaian SSR pula menghasilkan markah 80.6 dan dikategorikan dalam kelas 4 bintang. Dengan bangganya saya menyatakan bahawa pencapaian ini merupakan pencapaian tertinggi yang pernah dicapai oleh sebuah kapal TLDM. Lebih menyentuh perasaan saya bila keputusan bancian status moral warga kapal merumuskan pentadbiran dan pengurusan pemerintahan saya adalah berstatus SANGAT BAIK. Sebanyak 60 responden yang mewakili 50% warga kapal telah dibanci dan memberi maklum balas yang sangat positif kepada perlaksanaan pemerintahan saya. Sesungguhnya saya amat berterima kasih atas pengiktirafan tersebut. Saya berjanji untuk meneruskan usaha dan meningkatkan lagi pencapaian saya di masa akan datang. Terima kasih saya ucapkan kepada the Perantau People kerana menyokong setiap usaha yang saya lakukan. Kejayaan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan dan kerjasama daripada kalian semua.



Captaincy and PhD
Saya mula merasakan bahawa tempoh untuk saya menyerahkan tugas Pegawai Memerintah ini semakin hampir. 7 bulan telah berlalu tetapi saya masih merasakan seolah-olah baru seminggu saya menjadi Pegawai Memerintah. Sebelum saya mengambil alih teraju pemerintahan KD PERANTAU, saya telah dimaklumkan bahawa tempoh perjawatan saya sebagai Pegawai Memerintah di kapal ini tidak lama. Paling lama pun 18 bulan. Ini kerana saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian Doktor Falsafah oleh perkhidmatan TLDM. Terus terang saya katakana bahawa saya telah dipilih secara peribadi oleh Pucuk Pemerintahan TLDM untuk melanjutkan pengajian walaupun saya tidak memajukan sebarang permohonan lagi. Saya amat berbangga kerana pengiktirafan dan kepercayaan tersebut. Namun, jauh di sudut hati saya masih ada perasaan bimbang. Saya bimbang sekiranya pemilihan ini bakal memangkin rasa dengki dan sakit hati di kalangan pegawai-pegawai yang jauh lebih kanan daripada saya. Saya takut dituduh ANAK EMAS seseorang. Walaupun hakikatnya, pemilihan saya berasaskan keperluan perkhidmatan dan organisasi Hidrografi TLDM. Mahu tidak mahu saya harus terima presepsi negatif di kalangan mereka. Budaya orang Melayu memang tidak akan lari dari perasaan dengki. Apa yang harus saya lakukan sekarang ialah jangan terlalu berbangga diri. Saya tetap hormati semua pegawai-pegawai yang lebih kanan daripada saya dan saya selalu berdoa kepada Allah SWT agar tuhan menghakis perasaan kecewa dan sakit hati di kalangan mereka dan melihat saya sebagai seorang rakan, bukan musuh. Walaupun saya terpilih mengikuti pengajian tertinggi ini, saya tidak pernah melihat peluang ini sebagai halangan kepada pegawai-pegawai lain untuk turut berjaya seperti saya. Saya yakin, sekiranya saya berjaya kelak, ia akan membuka lebih ruang untuk pegawai-pegawai lain untuk turut berjaya memperolehi segulung ijazah Doktor Falsafah dalam bidang dan kepakaran masing-masing.


Dipancing Kerjaya Baru


Dalam saya memikirkan universiti mana yang hendak saya jadikan pusat pengajian, saya telah dihubungi sebuah firma offshore (oil and gas) tempatan. Saya telah ditawarkan untuk bekerja dengan firma tersebut sebagai Project Manager di luar negara. Tawaran mereka cukup unik kerana mereka sanggup menunggu sehingga saya menghabiskan tempoh wajib saya sebagai anggota tetap iaitu 21 tahun berkhidmat di dalam TLDM. Dengan melengkapkan tempoh 21 tahun ini, ia melayakkan saya menerima pencen bulanan. Mereka sebenarnya sudah lama mengintip saya untuk memancing saya bekerja bersama mereka. Mereka akui yang mereka harus memaklumkan kepada saya kerana mereka telah mendengar berita bahawa saya telah ditawarkan oleh perkhidmatan untuk melanjutkan pengajian Doktor Falsafah. Mereka sedar, sekiranya saya menerima tawaran pengajian tersebut, mereka terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan khidmat saya. Ini kerana, saya akan diikat dengan bon perjanjian sebaik sahaja menamatkan pengajian Doktor Falsafah kelak. Terus terang saya katakan bahawa tawaran yang diberikan cukup lumayan. Gaji yang ditawarkan melebihi 4 kali ganda gaji yang saya terima sekarang. Lebih menarik lagi, saya dan keluarga akan berada di luar negara dalam satu tempoh yang agak lama. Sepanjang tempoh berada di luar negara, pembiayaan sara hidup saya dan keluarga juga akan ditanggung oleh firma berkenaan. My goodness... sungguh mewah. Sebagai manusia biasa, saya tidak boleh lari dari kehendak naluri untuk menyambar tawaran baik ini. Apa lagi yang saya mahukan?? Semuanya sempurna. Gaji yang lumayan, faedah perubatan hospital pakar, pendidikan anak-anak di luar negara dan banyak kemudahan lain lagi. Sungguh sukar untuk saya mengatakan TIDAK. Saya rasa sesiapa pun yang menerima tawaran ini akan menerimanya tanpa berfikir dua kali.


Persoalannya, adakah kemewahan yang saya impikan selama ini?? Jauh di sudut hati saya tersimpan rasa bersalah. Rasa bersalah kepada perkhidmatan TLDM. TLDM sangat berjasa kepada saya. TLDM telah banyak memberi peluang kepada saya dan menjadikan saya seperti mana saya hari ini. Jadinya saya pada hari ini adalah kerana usaha dan acuan yang disediakan oleh TLDM. Sekiranya saya menerima tawaran tersebut, bukankan ia akan mencerminkan sikap saya yang terlalu mementingkan diri. Adakah saya ini Si Tanggang Orde Baru?? Sanggup melupakan jasa baik ‘ibu’ setelah diumpan kemewahan?? Apa yang saya mahu sebenarnya?? Ya benar, sejak akhir-akhir ini saya sering bertanyakan kepada diri saya sendiri soalan tersebut. Apakah sebenarnya yang saya mahukan dalam hidup ini. Jauh di sudut hati kecil saya pernah menjawab bahawa saya hanya mahukan keberkatan dalam apa juga yang saya lakukan. JADI, BERKATKAH PEKERJAAN BARU SAYA KELAK SEKIRANYA SAYA MENGHAMPAKAN PUCUK KEPIMPINAN TLDM? Tetapi fikiran saya punya tafsiran berbeza. Fikiran saya menyatakan, BUKANKAH PERKHIDMATAN 21 DALAM TLDM CUKUP UNTUK MEMBALAS BUDI TLDM?? Bukankah saya telah curahkan segala apa yang saya miliki kepada TLDM sepanjang tempoh tersebut. Tuduhan saya mementingkan diri juga tidak tepat kerana saya bukan menderhaka. Saya hanya mahukan yang terbaik untuk diri dan keluarga saya. TLDM mempunyai ramai lagi warga yang jauh lebih baik dari saya, so why should I worry?? Lagipun, sekiranya saya meninggalkan perkhidmatan, wujud satu kekosongan untuk pegawai lain naik pangkat. ADILKAN?? Kalau dilihat daripada dimensi positif pula, pemergian saya adalah untuk kepentingan nasional. Industri oil and gas merupakan salah satu industri yang dikategorikan sebagai industri yang berpotensi untuk menyaingi pasaran global. Malah ia tersenarai dalam rancangan Economy Transformation Plan (ETP). Tiada gunanya sekiranya industri yang banyak menerima pembiayaan kerajaan ini dijana dan dikawal oleh pekerja-pekerja luar. Bukankah lebih sempurna sekiranya anak-anak tempatan diberi peluang untuk memainkan peranan penting dalam industri ini?? Malah pendekatan mereka untuk memancing saya juga seiring dengan langkah kerajaan untuk mengurangkan tenaga kerja asing di dalam industri ini.


To Be A New Competative Player


Saya banyak berfikir dan berdoa memohon Allah SWT memberi petunjuk kepada saya. Terus terang saya katakana, gerak hati saya lebih cenderung untuk memilih pekerjaan baru. Bukan semata-mata kerana gaji dan kemewahan tetapi kerana peluang untuk menjadikan saya sebagai ‘player’ dalam industry oil and gas. Saya seorang jurukur marin atau hydrographic surveyor. Sekiranya saya terus berada dalam TLDM, kepakaran saya akan menjadi terhad dan sukar untuk berkembang. Malah saya akan terus ketinggalan dalam arus pembangunan teknologi pengukuran. Pembangunan sistem dan peralatan ukur dalam TLDM terlalu perlahan. Padahal, arus pemodenan sistem dan peralatan pengukuran adalah terlalu dinamik. Saya akan terus ketinggalan sekiranya terus berada di dalam TLDM. Kapal-kapal ukur TLDM masih menggunakan sistem dan peralatan yang dibeli sejak 15 tahun lalu. Jadi pemikiran saya terhadap teknologi baru amat terhad. Saya masih di belakang bila berbicara soal teknologi terkini sistem pengukuran. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa saya suka hadir ke forum dan seminar anjuran universiti-universiti tempatan dalam bidang pengukuran hidrografi kerana di situlah saya berpeluang bertemu dengan offshore players. Saya suka berkongsi cerita dan pengalaman bersama mereka mengenai sistem dan teknologi yang ada di pasaran. Mereka berkongsi pengalaman mengenai teknologi terkini yang mereka gunakan. Malah, sebelum ini saya selalu berbisik di dalam hati, BILAKAH SAYA BOLEH MENJADI SEPERTI MEREKA?? BILAKAH SAYA BOLEH MENJADI RUJUKAN DALAM ARENA HIDROGRAFI?? Saya amat mencemburui mereka kerana mereka sering ke hadapan dalam teknologi pengukuran kerana bagi mereka time is money and data are golds. Mereka tidak boleh ketinggalan. That’s why mereka ada segalanya. Alangkah bertuahnya saya kalau menjadi sebahagian daripada mereka.


BAKAT


Isteri saya amat menyokong saya untuk bertukar angin. Mengapa?? Mudah... kerana isteri saya tidak gemar dengan pendekatan BAKAT. Saya tidak pernah menyalahkan beliau kerana tidak menyukai aktiviti BAKAT. Saya amat memahami beliau. Saya juga bersependapat dengan beliau kerana bagi saya aktiviti BAKAT seharusnya wujud atas kerelaan dan bukan paksaan. Bagi mereka yang gemarkan aktiviti BAKAT, teruskan usaha anda. Tetapi satu sahaja harapan saya iaitu janganlah menilai kewibawaan setiap pegawai dan anggota TLDM dengan berpaksikan aktiviti BAKAT. Ia sama sekali salah.. Elemen inilah yang menjadikan kita hilang fokus dan mungkin juga menyebabkan TLDM kehilangan pegawai dan anggota yang berkualiti. Situasi sama yang saya hadapi sekarang dan mungkin ramai lagi insan lain yang turut merasakan perkara yang sama. Malah, saya melihat ramai juga yang bersikap hipokrit semasa menyertai aktiviti BAKAT. Sebahagian daripada mereka just wanna please someone yang berpengaruh with an intention to drag her husband nameinto a bigger picture such as promotion table, oversea course or interesting post abroad. Jadi, ikhlaskah mereka ini? Sebenarnya aktiviti BAKAT itu baik. Yang memburukkannya adalah ahli-ahli pertengahan yang tidak seberapa. Mereka-mereka yang bagaikan DIVA padahal hanya memegang peranan dalam Jawatankuasa Kecil. Mereka inilah yang suka menjaja cerita sehingga merosakkan keseluruhan organisasi. BAKAT rosak kerana mereka-mereka ini. Bukan kerana kepimpinan tertinggi BAKAT. Saya pernah melihat bagaimana aktiviti BAKAT diuruskan di negara Australia. Terlalu berbeza. Mereka berkawan, bukan berpuak. Mereka menghormati, bukan mengarah. Mereka humble, bukan berprotokol. Yang paling berbeza ialah mereka tidak pernah menjual dan menjaja nama Kepimpinan Tertinggi BAKAT untuk kepentingan sendiri. Kepada yang memamahi apa yang saya maksudkan, sedarlah.. BAKAT kita telah jauh terpesong dari matlamat asal. Opssss.. maaf, jangan sesekali labelkan saya sebagai anti BAKAT. Itu bukan niat saya mendedahkan . Niat saya hanya untuk membetulkan keadaan. Kalau pemikiran saya silap, maafkan saya. Janganlah pula ada di kalangan kita yang mula hendak menghasut orang lain selepas membaca blog saya ini. Hinakah saya kerana menulis apa yang saya fikirkan benar?? Ingatlah comments are free but facts scared.. Jauh di sudut hati saya sebenarnya masih percaya kepada BAKAT. Saya mula melihat perubahan positif dalam BAKAT. Kudos BAKAT.. teruskanlah transformasi anda.


Pesan Ayah




Berbalik kepada cerita saya mengenai tawaran kerja oleh firma oil and gas. Di pihak ayah dan ibu pula, mereka tiada halangan. Bagi mereka, saya berhak memilih jalan hidup saya sendiri. Kerana karier TLDM juga adalah karier pilihan saya. Sebenarnya mereka pernah cuba menghalang saya ketika memilih TLDM sebagai karier dahulu. Keputusan SPM saya adalah baik. Malah saya telah menerima Surat Tawaran Matriks sebulan sebelum memulakan latihan Pegawai Kadet TLDM. Namun saya nekad memilih TLDM. Alhamdullillah.. so far saya berjaya. Saya masih ingat ketika saya memaklumi ayah tentang tawaran kerja terbaru ini. Komen ayah mudah. Kata ayah, “Jangan sampai kamu tiada waktu untuk beribadah..” Saya terkasima mendengar pesanan ayah. Memang benar concerns ayah. Kerjaya baru ini penuh cabaran dan masa akan berlalu dengan begitu pantas. Mampukah saya mengekalkan solat 5 waktu?? Puasa dan puasa sunat?? Bagaimana hubungan sesama ahli keluarga saya pula. Kesibukan bakal menjarakkan hubungan kami. Berapa kerapkah saya mampu menemui ayah dan ibu?? Bagaimana hubungan saya dan abang-abang, kakak-kakak dan adik-adik?? I will gain something but certainly will lose a lot of things... Komen ayah membuat saya berfikir panjang... Kekayaan dan kemewahan bukan lah segala-galanya.. Apa yang sebenarnya yang saya mahukan dalam hidup?? Adakah kekayaan dan kemewahan akan menjanjikan saya ketenangan??

Ikon dan Idola


Saya tahu ramai pegawai-pegawai bawahan saya yang mahu suatu hari nanti saya memimpin organisasi Hidrografi TLDM. Malah ada di kalangan mereka percaya yang saya mampu pergi lebih jauh lagi. Bukan sekadar Ketua Pengarah Hidrografi sahaja. Ketua Pengarah Hidrografi baru sahaja dikurniakan Dato’ Pahlawan pada 26 Apr lalu. Tahniah Dato’ for receiving an honor that you clearly deserve. But, honestly it doesn’t drive me to stay. Honestly, title Dato’ship doesn’t bother me much. Saya tidak memandang kepada itu semua. Saya tahu, sekiranya saya terus kekal di dalam TLDM, peluang saya untuk menjadi KP dan menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato’ tetap ada. But that is not what I want?? Buat masa ini, elemen yang menahan saya untuk bertukar kerjaya cuma kerana organisasi hidrografi TLDM. Saya mempunyai hasrat untuk menjadikan ia sebagai satu organisasi yang lebih berkredibel dan kompeten. Bukan seperti sekarang. Saya tidak mungkin dapat menjadikan ia sepertimana yang saya hasratkan kalau saya keluar. Saya telah beberapa kali mengangkat nama hidrografi TLDM dan saya percaya saya mampu lakukan lebih daripada itu.. Apa yang saya lakukan hanya kerana saya mahu hidrografi TLDM dipandang tinggi. Saya telah mula mengangkat semula nama KD PERANTAU. Kejayaan di dalam Audit Pengurusan Tahunan baru-baru ini telah membuka mata banyak pihak bahawa platform hidrografi mempunyai kualiti yang tinggi. Merujuk kepada apa yang saya lakukan untuk kapal ini, saya percaya bahawa saya mempunyai karekter kepimpinan yang baik. Daripada apa yang saya fahami, karekter ini diistilahkan sebagai ‘Transformational Leader’. Pemimpin yang berjaya menghasilkan kekuatan organisasi yang sanggup memberikan sumbangan 110%.

Oleh itu, kalau saya ingin melihat perubahan di dalam organisasi ini, saya perlu kekal di dalam organisasi ini. Dan, saya juga tidak mahu menghampakan harapan pegawai-pegawai bawahan saya yang mempercayai saya. Saya percaya kalau saya memilih untuk keluar, mereka akan kehilangan ikon dan idola mereka. Saya bukan ‘perasan’, tetapi perkara itulah yang dimaklumkan kepada saya oleh pegawai-pegawai bawahan saya semasa saya membincangkan soal karier bersama mereka. Bila memikirkan elemen ini, saya merasakan that I’m belong to the organisation and the organisation still need me. Saya seolah-olah terikat. Rasa terlalu bersimpati. Tidak termampu untuk melangkah meninggalkan mereka kerana mereka ini telah meletakkan harapan yang tinggi pada saya. Saya tidak fikirkan sangat pengharapan oleh pihak atasan kepada saya. Saya tidak pedulikan apa juga rancangan pihak atasan kepada saya. Mereka membicarakan soal rancangan dan aturan pemindahan kepimpinan masa depan. Saya tidak terkesan kerana apa jua perancangan selalu tidak akan kekal. Tetapi saya amat tersentuh dengan pengharapan pegawai dan anggota bawahan saya kepada saya untuk memimpin organisasi ini. Pihak atasan memerlukan saya hanya kerana saya seorang pekerja yang baik tetapi pegawai dan anggota bawahan memerlukan saya kerana saya seorang pemimpin yang baik. Pekerja yang baik senang dicari but pemimpin yang baik sukar ditemui...Kalau saya hanya memikirkan diri sendiri (me first, me first, me first), saya tidak akan memikirkan langsung pengharapan mereka. Persoalannya, apakah saya bodoh kerana rasa terikat?? Apakah benar mereka memerlukan saya?? Leader come and go, so why should saya perlu rasa terikat dengan pengharapan mereka??

Family First


Satu faktor lain yang perlu saya imbangi ialah faktor keluarga saya. Sekiranya saya memilih untuk meneruskan pengajian PhD yang secara langsung mengekalkan saya untuk terus berkhidmat dalam TLDM, bukankah ia akan lebih mendekatkan kami satu keluarga. Masa bersama keluarga lebih berkualiti. Saya lebih banyak masa melihat anak-anak saya membesar. Buat masa ini, saya merasakan mereka amat-amat memerlukan perhatian saya. Ketika saya belayar sekalipun, anak saya yang kecil sering menghitung hari menunggu kepulangan saya. Setiap hari dia akan memberitahu ibunya, “Mama, daddy balik 12 hari lagi”. “Mama, daddy balik 11 hari lagi.” Dan seterusnya... Dari situ saya dapat merasakan bahawa memerlukan saya. Mereka tidak suka berpisah dengan saya. Sekiranya saya kekal dalam TLDM, saya sedar bahawa mungkin perjawatan yang saya pegang sekarang merupakan jawatan terakhir saya di kapal. Berkemungkinan besar, saya tidak akan ditugaskan semula di kapal. Kecuali, sekiranya TLDM mempunyai kapal hidrografi baru dan perjawatan Pegawai Memerintahnya lebih tinggi. Saya mungkin akan berkhidmat semula di kapal. Tetapi, kebarangkalian perkara itu untuk berlaku sangat tipis. Oleh yang demikian, saya akan menghabiskan sisa perkhidmatan saya hanya di pangkalan dan bukan lagi di kapal. Secara tidak langsung, waktu-waktu untuk ‘terpisah’ dengan keluarga mungkin sudah tiada. Saya akan lebih rapat dengan keluarga saya kerana masa bersama keluarga akan menjadi banyak..Bukankah itu yang saya mahukan?? Bersama-sama dengan mereka dan melihat mereka membesar?? Whatsoever my decision later, keluarga adalah keutamaan saya. Saya masih belum membuat keputusan. Setiap kali selesai solat, saya akan berdoa kepada tuhan, Ya Allah SWT, berilah saya petunjuk untuk memilih jalan yang lebih baik. Saya juga menunaikan solat sunat isthiharah. Saya memohon kepada mu Ya Allah agar pilihan kerjaya yang bakal saya ambil nanti akan memberikan keberkatan dan keredhaan yang berpanjangan kepada saya dan seluruh ahli keluarga saya. Amin..


Surah Al-Baqarah ayat 186 bermaksud, “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat, Aku mengambulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”


Epilog



Perkataan Epilog ini sebenarnya mengimbas kepada satu situasi yang akan saya ingati sampai bila-bila. Izinkan saya menceritakannya. Semasa menjadi ahli editor kepada buku Strategi Pertahanan Maritim, saya mencadangkan agar tajuk Bab terakhir dimanakan Epilog yang bermaksud Bab akhir atau penutup. Cadangan saya sedikit pelik kerana tidak pernah terlintas di fikiran ahli-ahli lain mengenai perkataan ini. Apabila saya diminta untuk memberi justifikasi mengapa saya mencadangkan tajuk itu, saya menjawab dengan mudah dengan mengatakan bahawa saya pernah membaca sebuah buku strategi yang diakhiri dengan tajuk yang menggunakan perkataan ini dan saya tertarik kerana keunikannya. Akhirnya semua ahli menerima alasan mudah saya. Benarlah kata pendita, honesty always work (kejujuran selalunya berkesan). Saya tamatkan coretan saya buat masa ini kerana saya mula terasa sakit di pangkal tengkuk. Time to break. Sebenarnya saya perlu berehat kerana saya berpuasa sunat pada hari ini. Jangan bimbang, saya akan terus menulis kerana mempunyai banyak masa. Saya berada di laut sekarang. Kapal saya sedang melaksanakan operasi hidrografi selama sebulan. Saya akan postkan coretan ini sebaik sahaja broadband celcom saya mempunyai liputan. Terima kasih kerana sudi membaca coretan saya yang tulus dan ikhlas ini. Adakah saya berbakat untuk menulis?? Buat masa ini saya tidak mengendahkan langsung samada penulisan saya ini berkualiti ataupun tidak. Ya benar, saya tidak begitu memikirkannya. Yang peting saya telah berjaya menulis lebih daripada 3,200 patah perkataan dalam masa kurang dari 3 jam. Thank you Allah for giving me this strength. Tidak susah untuk menulis sesuatu yang lahir dari hati. Ibarat kita menulis sesuatu dalam dairi peribadi kita. Ia tidak memerlukan ilham, sebaliknya ia lahir secara spontan. Kindly become my followers if you feel that my writing dalam blog ini memberi faedah kepada kalian. Saya akan berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang lebih berkualiti di masa akan datang. Tetapi dengan izin daripadaNya juga... Insyaallah..

Saya akhiri coretan saya dengan menitipkan nasihat buat anak-anak saya,"Wahai anakku Nureen, Najmi dan Nurdini, ingatlah bahawa budi ibumu terlalu besar buat kita semua."


Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatuhlah Wabarakatuh...

Affectionately,



Najhan Md Said

Somewhere at sea

Monday, July 12, 2010

Luahan Hati Nureen



Nureen hadiri Kem Motivasi anjuran sekolah agamanya hujung minggu yang lalu. Program ini bertujuan untuk meningkatkan motivasi diri para pelajar sebelum berdepan dengan suasana peperiksaan. Apa yang menarik untuk saya kongsikan ialah luahan rasa hati puteri saya yang benar-benar menyentuh perasaan saya. Saya tidak hadir di dewan semasa puteri sulung saya membacakan surat yang ditulisnya. Isteri saya juga hadir lewat di majlis penutup Kem Motivasi tersebut. Ia sungguh memalukan kerana kami berdua seolah-olah membelakangkan diri beliau, padahal Nureen merupakan pelajar pertama yang berani menawarkan diri untuk membaca hasil tulisan beliau di hadapan para guru dan ibubapa yang hadir di majlis tersebut. Saya abadikan luahan rasa Nureen sebagai penghargaan kepada beliau..


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Buat mama dan daddy yang saya sayangi. Ketika ini saya berada dalam kem motivasi. Tiba-tiba saya teringat dan terbayang wajah mama dan daddy. Saya rasa sangat rindu, walaupun baru sebentar tadi kita berjumpa.

Mama dan daddy yang saya sayangi. Saya berasa amat gembira dan bahagia bersama mama dan daddy. Namun saya juga banyak melakukan kesalahan dan dosa.

Saya berasa amat menyesal atas kesalahan yang telah saya lakukan. Mama, daddy, tolong ampunkan segala dosa yang telah saya lakukan dan perkara yang telah mengecewakan diri mama dan daddy. Rasa saying dan rindu pada mama dan daddy amat tinggi. Walhal mama dan daddy sentiasa berada di sisi saya.

Mama dan daddy yang saya sayangi, terlalu banyak dosa yang terhimpun, malu rasanya untuk berhadapan dengan daddy dan mama. Tetapi saya berjanji untuk menjadi anak yang rajin untuk berjaya dan belajar bersungguh-sungguh. Saya juga berjanji akan melakukan yang terbaik dengan usaha yang saya ada. Sesungguhnya mama dan daddy adalah insan yang amat saya saying dan cintai hingga akhir hayat saya. Saya akan berdoa agar mama dan daddy berjaya di dunia dan akhirat dan ampunilah dosa saya.

Saya doakan mama dan daddy berbahagia dan berbangga memiliki anak seperti saya. Sememangnya saya amat sayang mama dan daddy.


Daripada anakmu yang tercinta,


(Nureen Najeeha Bt. Najhan)


Sejujurnya, mama dan daddy amat tersentuh dan terkasima bila membaca luahan hati Nureen ini. Selain dari ketulusan dan kesucian hati yang Nureen tunjukkan, mama dan daddy juga tersentuh dengan keberanian Nureen untuk menghasilkan luahan sebegini. Ketahuilah bahawa mama dan daddy amat berbangga dengan dirimu, Nureen. Sebagai anak yang pertama di dalam keluarga, pastinya mama dan daddy mempunyai harapan yang besar pada Nureen. Harapan agar Nureen menjadi ikon dan idola kepada adik-adik. Mama dan daddy mahu Nureen terus berjaya. Nureen punyai potensi untuk berjaya. Ciri-ciri untuk berjaya sangat terserlah pada diri Nureen. Keluarkan dan muntahkan kesemuanya Nureen... Nureen pasti berjaya. Yang pasti, mama dan daddy akan sentiasa bersama Nureen..di kala kamu berjaya dan juga di kala kamu diselubungi kekecewaan.. kami tetap bersamamu..

Yang akan sentiasa menyayangi dirimu... mama dan daddy.

Friday, July 9, 2010

Laut Sulawesi Vs Ambalat



Pengenalan

Isu tuntutan bertindih di Laut Sulawesi atau turut dirujuk sebagai isu Ambalat di pihak Indonesia merupakan salah satu isu yang masih segar dibahaskan sehingga hari ini. Isu mengenai batas sempadan maritim yang bertindihan ini sebenarnya telah berlarutan semenjak negara mencapai kemerdekaan lagi. Sejarah telah membuktikan bahawa isu yang berlandaskan kepada persoalan hak dan kedaulatan seperti ini pernah bertukar menjadi persengketaan dan ketegangan yang serius di antara kedua-dua negara. Inisiatif penubuhan negara Malaysia yang menggabungkan Semenanjung Malaysia, Singapura, Sabah dan Sarawak pada awal tahun 1963 telah meretakkan hubungan politik kedua-dua negara. Walaupun penubuhan Malaysia antara lain bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Sabah, Brunei dan Sarawak, negara Indonesia melihat tindakan Malaysia sebagai satu bentuk penjajahan yang ‘merampas hak dan kedaulatan’ negara mereka.

Semangat patriotisme yang ekstrem dan agresif telah melihat negara Indonesia turut mendaratkan tenteranya untuk gerakan subversif ke atas kerajaan Malaysia. Salah satu tragedi yang tetap diingati oleh Angkatan Tentera Malaysia adalah serangan oleh tentera Indonesia ke atas Pos Kawalan Sementara di Kalambakan, Tawau pada 29 Disember 1963. Tragedi ini merupakan salah satu nostalgia pahit dalam lipatan sejarah hubungan di antara Malaysia dan Indonesia. Serangan yang dilakukan ketika anggota platun dari Kompeni C, Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja mengerjakan solat Maghrib telah menyebabkan seramai 7 anggota termasuk Ketua Platunnya, Mejar Zainal Abidin terkorban dan 16 lagi anggota tercedera. Walaupun persengketaan yang berlaku lebih setengah abad lalu telah berjaya dipulihkan dengan perjanjian pendamaian, namun, sentimen ‘merampas hak dan kedaulatan negara’ masih dijadikan stigma oleh negara Indonesia untuk mengaitkan kerakusan Malaysia di dalam isu persempadanan di antara kedua-dua negara.

Sentimen Hak dan Kedaulatan

Sentimen hak dan kedaulatan merupakan satu isu yang sangat sensitif. Di kalangan masyarakat tempatan sekalipun persoalan mengenai hak pemilikan tanah mampu mencetus pergaduhan atau setidak-tidaknya telah mewujudkan persekitaran yang tegang. Contoh terbaik adalah kemelut pengambilan hak milik tanah ladang yang melihatkan kes pergaduhan di Tingkayu, Sabah yang turut melihat pertumpahan darah dan kematian. Sekiranya di kalangan masyarakat kita sendiri sanggup berbalah dan berbunuhan antara satu dengan yang lain demi mempertahankan hak masing-masing, apatah lagi sekiranya sesuatu isu seperti tuntutan bertindih di Laut Sulawesi ini yang melibatkan maruah bangsa dan negara. Semestinya ia juga membangkitkan kemarahan dan suasana yang cukup tegang di antara kedua-dua negara.

Kehilangan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan pada 17 Disember 2002 telah memberi impak yang sangat besar kepada pemimpin dan rakyat negara Indonesia. Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memberikan hak kedaulatan kedua-dua pulau tersebut kepada Malaysia telah menjadikan Indonesia lebih sensitif dan agresif di dalam mempertahankan wilayah mereka. Buktinya, slogan ‘Ganyang Malaysia’ yang digunakan sewaktu mengisytiharkan konfrontasi pada 23 Januari 1963 dilaungkan dan dicanangkan semula oleh sesetengah ahli politik negara tersebut apabila wujud perselisihan mengenai perbatasan sempadan wilayah antara kedua-dua negara pada awal tahun 2005. Protes dan reaksi agresif rakyat Indonesia mengenai isu Laut Sulawesi ini jelas menzahirkan rasa kurang senang masyarakat negara jiran mengenai isu persempadanan terhadap Malaysia. Isu yang sama telah sekali lagi digembar-gemburkan oleh media massa Indonesia pada bulan Mei 2009 lalu. Kali ini bukan isu ini sahaja yang menjadi agenda untuk memacu adrenalin rakyat republik itu untuk membenci Malaysia, malah isu terpencil seperti kes penderaan pembantu rumah, tarian pendet dan lagu Terang Bulan (Negaraku) turut diperbesarkan. Langkah bijak pemimpin kedua-dua negara yang sama-sama memberikan komitmen untuk berunding dan mencari penyelesaian telah berjaya meredakan kemelut persengketaan.

Analisis

Isu pembatasan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia bukan sahaja menjadi isu hangat yang sering dibahaskan oleh kedua-dua negara tetapi ia juga menjadi sumber perbincangan bagi penganalisis perundangan maritim di peringkat antarabangsa. Malah setiap tindakan oleh kedua-dua negara turut dinilai, dikaji dan dibahaskan di peringkat global. Persoalan sering hadir adalah negara mana yang lebih berhak ke atas kawasan ini? Jawapan yang jujur adalah kedua-dua negara berhak menuntut hak masing-masing di kawasan ini. Kedua-dua negara mempunyai asas dan pendirian untuk mengemukakan tuntutan masing-masing. Persoalan utama mengapa wujudnya pertindihan ialah kerana faktor geografikal kedua-dua negara yang berkedudukan secara bertentangan (opposite) dan juga bersebelahan (adjacent) di antara satu sama lain. Faktor ini telah menjana satu persekitaran geografi yang kompleks. Ciri-ciri fizikal pantai yang berbeza panjangnya, berbentuk cengkung dan cembung serta mempunyai kepulauan kecil yang banyak telah memberi tafsiran yang berlainan di dalam melakar persempadanan maritim di kawasan ini. Pemilikan entiti-entiti luar pantai seperti batuan dan hubung kait elemen historic title serta special circurmstances oleh kedua-dua negara telah menyulitkan lagi penyelesaian di kawasan ini.

Ramai antara kita yang berpendapat bahawa masalah pertindihan sempadan maritim seperti di Laut Sulawesi ini boleh diatasi sekiranya kedua-dua pihak mematuhi perundangan yang ditetapkan. Hakikatnya, United Nations Convention on the Law of the Sea 1982 atau Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 (KUUL 1982) hanya menerapkan matlamat keputusan yang saksama (equitable result) sebagai penyelesaian. Tetapi KUUL 1982 tidak menerangkan prinsip dan tatacara sebenar untuk mencapai keputusan yan saksama. Oleh yang demikian, kaedah pembatasan sempadan maritim perlu merujuk kepada kes-kes mahkamah dan arbitrari antarabangsa. Rujukan kepada state practice ini mampu memberi sokongan kepada penggunaan peraturan equidistance dan prinsip-prinsip lain yang mengambil kira faktor geografi, historic title, special circurmstances dan lain-lain. Kajian terperinci dan strategi sesebuah negara amat penting di meja rundingan kerana setiap kes dan keputusan juri (jurisprudence) pula adalah unicum atau unik.

Kematangan TLDM

TLDM sebagai agensi peneraju pertahanan maritim negara dan juga selaku pelaksana aktiviti penguatkuasaan di zon maritim negara telah bertindak secara matang di dalam menangani isu ini. Pengalaman perkhidmatan yang berkesan selama 76 tahun tidak sedikit pun menggugat kepimpinan TLDM untuk berdepan dengan ketegangan dan tindakan provokasi oleh Tentera Negara Indonesia - Angkatan Laut (TNI-AL) dan agensi-agensi penguatkuasaan maritimnya. Semasa melaksanakan operasi untuk menzahirkan kedaulatan perairan negara, aset-aset TLDM di kawasan operasi telah bertindak dengan cekap, profesional dan konsisten. TLDM tidak sedikit pun terikut-ikut dengan nada dan rentak yang cuba dimainkan negara Indonesia. TLDM sedar bahawa ketegangan di Laut Sulawesi ini mampu mencetuskan konflik yang serius dan memudaratkan hubungan baik di antara Malaysia dan Indonesia.

Berasaskan pemahaman bahawa kedua-dua negara berhak menzahirkan kedaulatan zon perairan negara ‘masing-masing’, TLDM sedar bahawa tindakan kekerasan hanya mengundang ketegangan dan konflik. Jelas sekali kebenaran falsafah “..hubungan erat 100 tahun dua negara boleh terputus hanya dengan kesilapan 10 saat tindakan komander di lapangan..”. Dalam usaha menangani isu batas sempadan maritim yang bertindih ini, TLDM telah menekankan pelaksanaan dan kepatuhan prosedur Incidents at Sea Agreement (INCSEA). Pada hemat TLDM, INCSEA merupakan landasan terbaik untuk memastikan operasi di laut dilaksanakan dengan selamat dan seterusnya memelihara hubungan yang erat antara dua negara. Persetujuan untuk mematuhi INCSEA ini telah ditandatangani oleh ketua perkhidmatan Tentera Laut kedua-dua negara pada 18 Januari 2001 di Jakarta. Kepatuhan kepada prosedur INCSEA ini menzahirkan kematangan TLDM di dalam menangani ketegangan di lapangan. Seharusnya, Angkatan Laut Tentera Negara Indonesia (TNI-AL) tidak terikut-ikut dengan nada dan rentak agenda politik dalaman mereka. Sebaliknya TNI-AL harus sama-sama mendukung INCSEA agar kerjasama erat politik dan pertahanan yang terjalin berasaskan konsep “ASEAN Treaty of Amity and Cooperation 1975” dapat direalisasikan.

Status Pertikaian

Pertikaian persempadanan maritim di Laut Sulawesi bermula pada 21 Disember 1979 apabila Malaysia menghasilkan deklarasi batas sempadan Wilayah Laut dan Pelantar Benua melalui Peta Malaysia Baru 1979 (PB 1979). Pada 8 Febuari 1980, Indonesia telah menghantar Nota Bantahan mengenai kemasukan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan di dalam PB 1979. Dalam masa yang sama, Indonesia mendakwa batas sempadan maritim di Laut Sulawesi adalah pada Garis Lintang 4 10’ Utara. Setelah gagal menghasilkan keputusan di meja rundingan, Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk merujuk isu tuntutan kedua-dua pulau ini ke ICJ. Pada 17 Disember 2002, ICJ telah membuat keputusan untuk memberi kemenangan kepada Malaysia dengan keputusan 15-1. Walaupun pertikaian mengenai hak kedaulatan kedua-dua pulau telah terjawab, namun status batas sempadan maritim kedua-dua negara sebenarnya masih belum selesai. Keputusan ICJ hanya memutuskan status hak kedaulatan kedua-dua pulau sahaja dan tidak merangkumi pembatasan sempadan maritim kedua-dua negara. Ini kerana kedua-dua negara hanya mengemukakan permohonan agar ICJ membuat keputusan ke atas hak kedaulatan kedua-dua pulau sahaja.

Berdasarkan kepada keputusan ICJ tersebut, mahu tidak mahu, kedua-dua negara harus sama-sama berunding untuk menyelesaikan isu pembatasan sempadan maritim. Berasaskan polisi dasar luar kedua-dua negara yang mengamalkan prinsip toleransi dan kerjasama serantau, Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk berunding di dalam menyelesaikan isu pembatasan sempadan maritim. Sehingga kini, sejumlah 15 siri mesyuarat rundingan telah diadakan. Mesyuarat yang terakhir telah diadakan di Bali Indonesia pada 14 hingga 15 Oktober 2009. Melihat kepada semangat positif yang ditunjukkan kedua-dua negara, isu ini akan berjaya diselesaikan. Walau bagaimapun, adalah sesuatu yang tidak mustahil sekiranya proses rundingan ini akan menemui jalan buntu dan terpaksa dirujuk kepada adjudikasi pihak ketiga seperti ICJ atau arbitrari antarabangsa.

Rumusan

Berasaskan kepada fakta-fakta yang dihuraikan ini, tidak dinafikan bahawa isu tuntutan bertindih di Laut Sulawesi merupakan irritating issue kepada kedua-dua negara. Penyelesaian terbaik di dalam menangani isu di Laut Sulawesi ini adalah melalui forum diplomasi secara bilateral meja rundingan. Perbalahan, ketegangan dan konflik hanya memberi kesan negatif kepada hubungan erat kedua-dua negara. Tindakan TLDM yang tidak sama-sama terikut dengan nada dan rentak negara Indonesia jelas menunjukkan kematangan perkhidmatan TLDM. Kematangan ini telah meredakan ketegangan dan menggagalkan agenda yang cuba diketengahkan negara Indonesia. Bravo Zulu TLDM!!

Thursday, July 1, 2010

It's my blog..


today 2nd July...najmi's 10th birthday.. hari ini juga akan kekal dalam lipatan sejarah peribadi saya kerana hari ini merupakan hari kelahiran laman blog saya.. sejujurnya, memang sudah lama saya terfikir untuk membuat laman blog sendiri. akhirnya, hasrat yang sekian lama saya simpan,kini menjadi realiti..


Ensign&Insight.. tajuk lama blog ini. Kalau ditanya mengapa tajuk ini dipilih, saya sendiri sukar untuk menerangkannya..malah saya akan terkesima bila memikirkan semula mengapa tajuk ini dipilih. 'ensign' merupakan perkara simbolik kepada kareer saya. 'ensign' sebenarnya adalah panji-panji angkatan laut. setiap angkatan laut mempunyai 'ensign'nya yang tersendiri. sebut sahaja 'ensign' orang akan tahu, bicara saya lebih kepada bicara soal perkara-perkara yang mempunyai kaitan mengenai navy.. saya begitu selesa untuk berkongsi pengetahuan. siapa tahu blog yang saya terbitkan hari ini akan menjadi satu forum percambahan minda dan perkongsian maklumat..


Do this blog looked too 'navy centric'? sebagai permulaan jawapannya mungkin YA. why?? kerana saya lebih suka berbicara soal mengenai kerjaya dari menulis mengenai hal-hal peribadi. kita boleh bicara soal strategi blockade seperti mana yang dilaksanakan oleh rejim Israel yang menghalang kemasukan bekalan ke Pelestin. Strategi blockade ini memang wujud dalam Strategi Pertahanan Maritim. tetapi persoalannya, dari segi perundangan antarabangsa, apakah tindakan Israel seiring dengan hak dan kedaulatan negaranya dalam konteks 'mempertahankan negara'. Ramai orang melaung-laungkan kemarahan bahawa Israel kejam kerana menahan kapal-kapal yang berusaha menyalurkan bantuan kemanusian kepada Palestin. Ya benar, mereka kejam tetapi apa yang mereka buat juga sebenarnya pernah berlaku semasa perang teluk dahulu. Amerika Syarikat sendiri pernah melaksanakan strategi blockade semasa perang teluk. Oleh yang demikian, soalan saya kepada pembaca, sekiranya Amerika Syarikat sendiri yang pernah melakukannya (saya pasti strategi ini akan terus menjadi salah satu strategi pertahanan di peringkat global), apakah AS akan mengarahkan Israel untuk tidak mempraktikkalnya???


Kalau pisahkan isu kemanusian dengan isu strategi, saya ingin katakan bahawa strategi yang diamalkan Israel adalah sangat efektif. Strategi blockade mampu melumpuhkan negara lawan dan kemenangan akan mudah diperolehi. Itulah keunikan angkatan laut. Dengan meletakkan sebuah flotilla di laut, ianya sudah mampu menewaskan negara musuh. Dengan syarat, negara musuh terlalu bergantung kepada sumber luar.. sekiranya sesebuah negara tidak bergantung kepada jaringan luar, maka strategi blockade tidak efektif.. SEKALI LAGI SAYA KATAKAN BAHAWA SAYA TIDAK MENYOKONG ISRAEL. SAYA HANYA BERCAKAP DARI ASPEK STRATEGI. Please jangan katakan saya bersetuju.. dari nilai kemanusiaan, saya amat membenci tindakan Israel. HIDUP PALESTIN..


Sekian dahulu post sulung saya.. insyallah saya akan kembali semula dengan isu-isu yang lebih menarik.. Untuk najmi najmudeen.. selamat hari lahir.. semoga kamu cepat matang dan menjadi insan yang soleh dan berguna kepada agama, bangsa dan negara...aminnn