Thursday, April 28, 2011

My Command Philosophy (Falsafah Pemerintahan)




Pembuka Bicara




Sebagai pembuka bicara untuk kali ini, ingin saya rakamkan ucapan tahniah kepada TLDM atas sambutan Hari Ulangtahun yang ke-77. Kodus RMN for the excellent services to the nation. Bersempena dengan sambutan ulangtahun TLDM yang ke-77 ini, post saya kali ini juga agak navy centric atau cenderung kepada ke'navy' an. Bagi pembaca yang di kalangan non-navy people, mungkin kalian sukar untuk memahami apa yang saya bakal tuliskan. Namun saya percaya, istilah 'Command Philosophy' atau Falsafah Pemerintahan ini sebenarnya cenderung kepada elemen 'leadership' dan boleh diadaptasikan di dalam mana-mana organisasi.

Apakah tujuan saya menghasilkan post ini di dalam blog saya?? Tujuan saya hanya satu, saya hanya ingin kongsikan Falsafah Pemerintahan saya dengan semua sidang pembaca. Sebagai Pegawai Memerintah atau Captain, semestinya saya mempunyai prinsip dan pegangan bagaimana saya mahu memerintah pasukan saya. Prinsip dan pegangan inilah yang mahu saya kongsikan.

Apakah yang dikatakan Falsafah Pemerintahan?? Secara jujurnya, saya tidak pernah didedahkan dengan Falsafah Pemerintahan di dalam perkhidmatan TLDM. Saya mula memahami apa yang dikatakan Falsafah Pemerintahan sewaktu mengikuti Australian Command and Staff Course di Canberra pada tahun 2008. Saya melihat pendekatan dengan mewujudkan sebuah Falsafah Pemerintahan adalah suatu pendekatan yang baik bagi setiap organisasi. Berpaksikan kepada pemahaman itulah, saya menghasilkan Falsafah Pemerintahan saya sendiri. Pada hemat saya, sesuatu yang membawa kebaikan harus disegerakan. Justeru, apa yang saya pelajari semasa berkursus dahulu, perlu saya kembangkan. Bukankah itu juga tanggungjawab saya?? Ilmu yang kita perolehi perlu dikongsi bukan untuk disimpan untuk diri sendiri. Ilmu yang difikirkan berguna tidak mungkin berkembang sekiranya tiada usaha seperti yang saya lakukan ini. Ahli fikir pernah menyatakan bahawa sebaik mana pun sesuatu idea, ia akan sentiasa kekal sebagai idea dan tidak memberi sebarang makna sekiranya ia tidak ditukarkan atau ditransformasikan kepada hasil..

Apa itu Falsafah Pemerintahan



Menurut Capt James Stavridis, USN dan Vice Admiral William P. Mack, USN dalam bukunya “Command at Sea (Fifth Edition)”, Falsafah Pemerintahan atau Command Philosophy diistilahkan sebagai satu pendekatan untuk menghasilkan ‘a quick rapport’ di antara Pegawai Memerintah dengan pegawai-pegawai bawahan dan seluruh warga kapal. Rapport atau perhubungan yang erat ini dihasilkan dengan menterjemahkan idea-idea dan falsafah yang merangkumi polisi, prinsip, pemikiran dan kehendak seseorang Pegawai Memerintah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab beliau sebagai Pegawai Memerintah. Jamie Cullens, Director Centre for Defence Leadership Studies, Australian Defence College (ADC) pula menterjemahkan Falsafah Pemerintahan sebagai alat (tool) yang berkesan dalam meningkatkan kemampuan dan keberkesanan pemerintahan seseorang pemerintah.

Pendedahan

Penyediaan Falsafah Pemerintahan oleh seseorang Pegawai Memerintah masih belum menjadi satu budaya di dalam perkhidmatan TLDM. Secara umumnya, punca utama penyediaan Falsafah Pemerintahan ini masih belum dipraktikkan di dalam TLDM adalah kerana kurangnya pendedahan dan pengetahuan di dalam menyediakannya. Pendedahan dalam menghasilkan Falsafah Pemerintahan masih belum dilaksanakan secara menyeluruh di dalam perkhidmatan TLDM. Oleh yang demikian, tujuan artikel ini ditulis adalah untuk memberi pendedahan kepada semua pembaca terutamanya para pemerintah dan bakal pemerintah tentang apakah sebenarnya Falsafah Pemerintahan dan bagaimana untuk menghasilkan sebuah Falsafah Pemerintahan.

Sebuah Peta dan ‘Malim’



Dalam usaha memahami dengan lebih mudah apakah sebenarnya Falsafah Pemerintahan, saya suka kaitkan keperluan Falsafah Pemerintahan ini kepada situasi dimana kita diarahkan untuk menuju ke satu destinasi yang belum pernah kita sampai. Bayangkan sekiranya kita diberi 3 pilihan. Pilihan pertama, mengekori pemandu yang tahu jalan ke destinasi tersebut. Pilihan kedua, mendapat gambaran atau taklimat mengenai jalan mana yang kita harus ambil sebelum memulakan perjalananan. Dan pilihan ketiga, kita diberikan peta yang mudah difahami disamping menerima taklimat sebelum memulakan perjalanan dan memandu mengekori kenderaan yang pemandunya tahu untuk menuju ke destinasi tersebut. Semestinya kita akan memilih pilihan yang ketiga. Pilihan ketiga ini merangkumi semua perkara yang mampu memudahkan pelaksanaan tugasan kita.

Mewujudkan Falsafah Pemerintahan boleh disamakan seperti menyediakan peta dalam situasi pilihan ketiga di atas. Menerangkan mengenai jalan yang mana kita akan lalui pula diibaratkan seperti memberi penerangan mengenai Falsafah Pemerintahan yang dihasilkan.. Manakala pemandu yang bertindak sebagai ‘malim’ atau penunjuk jalan pula adalah diri Pegawai Memerintah itu sendiri kerana hanya beliau yang lebih mengetahui destinasi mana yang hendak dituju. Sekiranya kita membayangkan situasi perjalanan secara konvoi di atas, apabila ‘malim’ di hadapan tersasar atau tersilap jalan, pemandu-pemandu lain di belakang yang telah dibekalkan dengan peta akan segera sedar bahawa si ‘malim’ di hadapan perlu dimaklumkan mengenai kesilapan tersebut. Mahu tidak mahu, ‘malim’ atau Pegawai Memerintah harus sentiasa memastikan beliau melalui jalan yang betul untuk ke destinasi yang dituju.

Elemen Falsafah Pemerintahan


Penulisan sebuah Falsafah Pemerintahan sebenarnya tidak mempunyai format khusus. Apa yang penting ialah, perkara yang hendak disampaikan kepada warga kapal atau unit mengandungi dua elemen utama. Elemen pertama, visi atau apa yang disasarkan sebagai pemerintah kapal atau unit. Elemen kedua pula ialah perkara yang perlu dilaksanakan atau ditekankan untuk mencapai sasaran tersebut. Isi kandungan sesebuah Falsafah Pemerintahan juga adalah unik dan merupakan sesuatu yang peribadi. Ia dihasilkan mengikut acuan dan pemikiran pemerintah itu sendiri. Setiap pegawai yang berkhidmat di dalam perkhidmatan TLDM secara idealnya, telah atau akan melalui satu tempoh persediaan sebelum diberikan tanggungjawab sebagai Pegawai Memerintah. Tempoh persediaan ini merangkumi aspek pembangunan jati diri secara peribadi, latihan-latihan kepimpinan dan pengamatan serta pengalaman sewaktu berkhidmat di bawah pemerintahan beberapa Pegawai Memerintah di sepanjang karier individu tersebut. Berpaksikan kepada faktor-faktor tersebut, setiap pegawai yang terpilih untuk sebagai Pegawai Memerintah seharusnya mempunyai prinsip dan falsafah yang tersendiri bagaimana dia mahu memimpin dan menerajui unit atau pasukan beliau. Prinsip dan falsafah inilah yang seharusnya diterjemahkan di dalam sebuah penulisan yang dinamakan Falsafah Pemerintahan. Di bawah ini saya sertakan penulisan Falsafah Pemerintahan saya sebagai Pegawai Memerintah untuk tujuan perkongsian maklumat. Harap ia dapat membantu pemahaman kalian mengenai Falsafah Pemerintahan.

MANIFESTASI FALSAFAH PEMERINTAHAN

Kdr Najhan bin Md Said KAT PPS PPA TLDM



PENDAHULUAN

KD PERANTAU merupakan pasukan/unit yang hebat dan saya sangat bertuah kerana terpilih menjadi Pegawai Memerintah kapal ini. Sebagai Pegawai Memerintah, saya merancang untuk kapal ini dan warganya menikmati masa yang menggembirakan sepanjang saya menjadi Pegawai Memerintah. Sejak hari pertama diperjawatkan sebagai Pegawai Memerintah kapal ini, saya telah mengambil inisiatif untuk mengenali dan memahami setiap individu yang berkhidmat di kapal ini. Kini saya benar-benar telah menjiwai persekitaran dan suasana semasa kapal dan warganya. Justeru, saya ingin sekali berkongsi pemikiran saya bersama kalian dengan menghasilkan Manifestasi Falsafah Pemerintahan ini. Manifestasi ini seharusnya menjadi petunjuk kepada semua Perantau People (semua pegawai dan anggota KD PERANTAU) dalam apa yang bakal kita laksanakan dan ke mana arah yang ingin saya bawa Perantau People bersama-sama saya. Dalam masa yang sama, manifestasi ini juga bertujuan untuk membantu saya dalam memberikan pedoman kepada pemikiran dan tindakan saya sepanjang memerintah KD PERANTAU.

SKOP

Manifestasi Falsafah Pemerintahan ini akan menjelaskan;

visi dan kehendak saya sebagai Pegawai Memerintah;
perkara-perkara yang saya harapkan dari setiap individu warga kapal dan;
perkara-perkara yang bakal diterima dari saya sebagai Pegawai Memerintah.

VISI SAYA

Secara umumnya, saya paksikan falsafah pemerintahan ini berasaskan prinsip yang sentiasa saya pegang semenjak saya masih di peringkat pegawai muda iaitu, setiap Navy People (Pegawai dan anggota TLDM) seharusnya – sentiasa, di mana jua dan sepanjang masa – adalah simbol Kualiti. Justeru, saya jajarkan pemerintahan saya bervisikan “Untuk Menjadi Kapal Yang Berkualiti Di Dalam TLDM”. Maksudnya di sini ialah kecemerlangan kita bukan sahaja di dalam melaksanakan tugas teras dan rutin operasi tetapi juga kecermerlangan sikap, keutuhan disiplin dan semangat esprit-de-corps yang mantap. Hasilnya kelak, Perantau People akan berbangga untuk menjadi warga KD PERANTAU kerana berkhidmat di sebuah kapal yang sentiasa memandang serius keperibadian dan kebajikan kamu.

TUJUAN SAYA

Menjadi Pegawai Memerintah KD PERANTAU adalah menjadi impian saya semenjak saya membawa (navigate) kapal ini semasa keluar untuk melaksanakan ujian jentera buat kali pertama. Kesannya, apabila dimaklumkan oleh Pengurusan Tertinggi TLDM bahawa saya akan diperjawatkan sebagai Pegawai Memerintah di kapal ini, perasaan saya sungguh terharu. Saya telah berkhidmat di kapal ini hampir satu pertiga usia perkhidmatan saya di dalam TLDM. Saya juga telah terlibat secara langsung dengan kapal ini semenjak menjadi ahli Pasukan Projek sebelum menjadi warga pertama sebagai Pegawai Panduarah. Kemudian pada April 2004, saya kembali semula menjadi Pegawai Hidrografi dan Oseanografi Kanan merangkap Pegawai Laksana. Tidak hairanlah mengapa jawatan sebagai Pegawai Memerintah ini penuh bermakna kepada saya. Namun, kapal ini bukan menjadi kebanggaan saya seorang. KD PERANTAU adalah kapal kebanggaan kita bersama. Saya sangat optimis untuk menghasilkan warga kapal yang berkualiti dengan membangunkan sebuah warga yang berkompetitif, bermotivasi, professional dan berpengetahuan tinggi. Untuk mencapai hasrat itu, keutamaan saya adalah memelihara kebajikan kalian agar semangat diri, spiritual dan tahap moral kalian sentiasa tinggi. Hanya dengan landasan itu sahaja, kejayaan untuk membangunkan warga kapal yang cemerlang akan dapat direalisasikan.

PERKARA-PERKARA YANG SAYA HARAPKAN

Harapan saya daripada kamu sebagai Perantau People adalah untuk “ACT”, yang mewakili Attitude (Sikap), Continuous Learning (Belajar Secara Berterusan) dan Teamwork (Semangat Berpasukan).

Attitude (Sikap). Sikap adalah kunci kejayaan kepada semua perkara. Ahli Pemikir Jepun, Kenichi Ohmae, dalam bukunya “The Mind of Strategist” menyatakan bahawa, “Pengurusan adalah mengenai ahli/anggotanya dan perniagaan yang berjaya adalah berpaksikan ahli/anggotanya, bukan kerana suatu perancangan.” Justeru, harapan saya agar Perantau People mempunyai sikap yang positif. Saya mahukan Perantau People sentiasa berfikiran “Saya boleh melaksanakannya” berbanding “Saya tidak mampu melaksanakannya”. Perantau People hendaklah memfokuskan kepada mencari penyelesaian kepada masalah dan bukan hanya menunding jari atas masalah tersebut. Lihatlah kepada kelebihan orang lain dan jangan mencari kelemahan atau mencari kesalahan orang lain. Saya juga berharap Perantau People mampu melihat peluang di hadapan dan bukan kengkangan.

Continous Learning (Belajar Secara Berterusan). Saya mengharapkan Perantau People berusaha untuk memajukan diri dalam semua aspek baik dari aspek karier mahupun kehidupan peribadi. Jangan sesekali merasakan pangkat yang dimiliki menyekat diri untuk terus belajar. Yang berpengetahuan, bantulah warga yang lain untuk maju. Yang berpengalaman pula, berilah panduan dan tunjuk ajar yang baik dan berterusan kepada warga yang baru agar masa depan Perantau People samada kehidupan semasa bertugas di kapal ini atau di dalam TLDM atau pun setelah menjadi orang awam selepas bersara kelak, kalian akan menjadi individu yang lebih positif, produktif dan berilmu.

Teamwork (Semangat Berpasukan). Memandangkan semangat kerjasama merupakan perkara utama untuk menjayakan setiap sasaran dan objektif, saya mahukan setiap Perantau People menghormati antara satu sama lain sesame warga kapal. Prihatin dan mengambil berat di samping memelihara perhubungan secara professional antara satu sama lain. Bekerja sebagai satu pasukan bertujangkan kesetiaan kepada saya, pegawai-pegawai dan juga anggota bawahan kamu.

PERKARA-PERKARA YANG BAKAL DITERIMA DARIPADA SAYA

Sebagai Perantau People, kalian boleh mengharapkan untuk menerima “LEAD” daripada saya sebagai Pegawai Memerintah kalian. “LEAD” mewakili Leadership (Kepimpinan), Engage (Ambil Bahagian), Accountability (Bertanggungjawab) dan Development (Kemajuan).

Leadership (Kepimpinan). Saya sangat komited untuk memimpin kalian sebagai Perantau People. Komitmen ini akan diimbangi dan didukung oleh tindakan dan kelakuan saya yang positif. Saya tidak akan hanya meminta kalian membuat perkara yang betul tetapi saya sendiri akan memimpin kalian untuk melaksanakan perkara yang betul. Saya tidak mahu hanya digelar sebagai pemimpin yang “cakap tak serupa bikin”. Sebaliknya, saya bertekad untuk menjadi contoh yang baik dan berkhidmat sebagai role model kepada kalian.

Engage (Ambil Bahagian). Sebagai pemerintah, saya tidak mahu kalian bekerja untuk saya tetapi saya mahu kalian bekerja bersama-sama saya. Saya akan mengamalkan berkomunikasi yang efektif dan berusaha untuk turut sama mengambil bahagian bersama-sama kalian. Ini kerana elemen mengambil bahagian bersama-sama adalah perkara yang amat penting dalam usaha mencapai apa yang saya hajati. Kita perlu berkongsi informasi secara bersama dan saling berhubungan dalam memastikan kita semua memahami dan memperolehi perkara yang sama. Hanya dengan kaedah ini sahaja kita mampu mencapai apa yang kita hajatkan.

Accountability (Bertanggungjawab). Tugas Pegawai Memerintah bukan sahaja memegang amanah yang diberikan perkhidmatan tetapi juga bertanggungjawab terhadap apa juga yang berlaku di kapal. Segala tindakan Perantau People samada di dalam perkhidmatan ataupun dengan kehidupan seharian kalian, ia tetap akan membawa bersama nama KD PERANTAU. Seterusnya nama saya sebagai Pegawai Memerintah juga akan terlibat sama. Saya tidak pernah gentar dengan tugas dan tanggungjawab ini. Saya meletakkan seluruh kepercayaan saya kepada kalian sebagai Perantau People untuk berkhidmat bersama-sama saya berasaskan nilai-nilai teras TLDM iaitu Kemuliaan, Kesetiaan, Keberanian dan Kebanggaan.

Development (Kemajuan). Saya komited untuk mencurahkan pengetahuan dan pengalaman yang saya miliki demi memajukan dan meningkatkan kalian sebagai Perantau People bukan sahaja dalam aspek profesionalisme tetapi juga sebagai individu. Saya yakin, selepas kalian menamatkan tugas kalian di kapal ini, kalian akan menjadi individu berbeza dari aspek kemajuan pengetahuan dan keyakinan diri.

PENUTUP

KD PERANTAU adalah satu pasukan yang hebat. Ia hebat kerana memiliki warga yang sehebat kalian. Jangan berlengah, marilah kita berusaha untuk menjadikan KD PERANTAU yang terbaik. Ingatlah bahawa “ACT” dan “LEAD” mampu diaplikasikan dalam setiap proses yang kita lakukan untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan di sepanjang perkhidmatan kita di kapal ini. Saya menggalakkan setiap dari kalian untuk ke hadapan dan buat perubahan kerana kita boleh merealisasikannya


“Sedia Berkorban”

1 comment:

  1. Assalamualaikom,

    Tuan, secara tidak sengaja saya telah menemui blog tuan. Saya telah membaca visi dan harapan tuan melalui blog ini dengan penuh minat. Saya juga adalah bekas anak kapal KD Perantau. Tetapi dari jenis kapal lama.

    Saya percaya tuan boleh menjadi seorang PM dan pegawai TLDM yang penuh bertanggong jawab. Terutama dalam menjaga kebajikan anak2 kapal dari kalangan LLP.

    Di dalam TLDM ramai pegawai2 yang tidak begitu perihatin terhadap kebajikan anggota2 LLP. Kerana mereka merasa diri mereka telah cukup hebat dengan pangkat yang disandang.

    Namun saya percaya tuan tidak seperti mereka setelah saya membaca isi hati tuan yang diluahkan melalui blog ini. Saya juga berdoa semuga tuan berjaya di dalam apa jua yang tuan kerjakan demi kebaikan agama, bangsa dan negara.

    Sekian dari PakMail

    ReplyDelete